PEMIMPIN tiga parti di Bosnia akhirnya mencapai persetujuan untuk membentuk kerajaan pusat, mengakhiri kebuntuan 10 bulan sejak pilihan raya umum pada Oktober 2018.
Ketua parti etnik – yang mewakili Serbia, Croatia dan Muslim Bosnia menandatangani perjanjian itu pada mesyuarat dikendalikan oleh ketua delegasi EU ke Sarajevo, Lars-Gunnar Wigemark.
Salah satu sekatan yang menyebabkan pendirian mereka terbahagi ialah pendirian terhadap NATO, dengan Serbia menentang penyertaan dalam gabungan itu.
Perjanjian itu termasuk komitmen tidak jelas dalam hubungan dengan NATO.
Jurucakap EU Maja Kocijancic mengalu-alukan kejayaan itu sebagai satu langkah penting untuk masa depan.
Beliau menggesa semua pemimpin berkenaan untuk meneruskan dengan pembentukan pihak berkuasa dan membolehkan semua institusi berfungsi dengan secepat mungkin.
Selepas mesyuarat itu, Presiden Bersama Serbia Milorad Dodik berkata negara itu mempunyai 30 hari untuk membentuk Kabinet, dikenali sebagai Majlis Menteri.
“Jika Majlis Menteri tidak ditubuhkan dalam tempoh 30 hari, perjanjian ini tidak lagi berkuat kuasa,” katanya kepada wartawan.
Sejak berakhirnya perang etnik pada 1990-an, Bosnia ditadbir menerusi sistem yang sangat kompleks dan pentadbiran yang bertindih.
Ketegangan etnik yang berterusan dan nasionalisme juga membawa kepada politik yang sengit.
Bosnia terbahagi kepada dua wilayah semi autonomi, satu didominasi oleh Serbia dan satu lagi Croatia dan Muslim Bosnia.
Dua entiti itu saling terkait dengan kerajaan pusat yang lemah, termasuk presiden tiga pihak dikongsi oleh anggota Serbia, Muslim dan Croatia. – AFP, 6 Ogos, 2019.
Komen