PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijadualkan melawat El Paso, Texas esok susulan insiden tembakan rambang yang menyebabkan 22 maut, kata datuk bandar.
“Presiden Trump menelefon saya semalam. Beliau juga bermurah hati menawarkan sebarang bentuk bantuan yang termampu,” kata Dee Margo pada sidang media semalam.
“Beliau akan ke sini pada Rabu.”
Susulan insiden itu, pembangkang menuduh Trump membantu memupuk rasa kebencian terhadap kumpulan etnik minoriti dengan retoriknya yang bersifat memecahbelahkan.
Malah sebahagian penduduk tempatan El Paso yang kebanyakannya Hispanik berkata kedatangan presiden itu tidak dialu-alukan.
Margo yang juga anggota Republikan pimpinan Trump tetap menyokong kuat dan mempertahankan kunjungan itu.
“Sudah menjadi tanggungjawab rasmi saya mewakili pejabat datuk bandar El Paso untuk mengalu-alukan kedatangan presiden AS,” katanya kepada wartawan.
“Saya akan meminta Presiden Trump menyokong penuh usaha kita dengan segala bantuan dan sumber persekutuan yang ada.”
Kejadian tembakan rambang di dua lokasi, El Paso dan Dayton kelmarin menyebabkan 29 terbunuh dalam masa tidak sampai 24 jam.
Tiada kaitan jelas antara dua kes itu dengan isu imigresen.
Suspek serangan El Paso dipercayai pelampau kulit putih dikenali sebagai Patrick Crusius.
Polis bagaimanapun menyiasat serangan itu sebagai tindakan keganasan domestik. – AFP, 6 Ogos, 2019.
Komen