DUA anggota militan Al-Shabaab telah menjalani hukuman mati yang dilaksanakan sebuah mahkamah tentera Somalia di Mogadishu pada pagi ini, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik media rasmi.
Mereka telah disabitkan oleh tribunal tentera untuk peranan mereka dalam beberapa serangan pengganas dan pembunuhan para pegawai, wartawan serta orang awam di Mogadishu antara 2017 dan 2018.
“Anshour Osman Abukar, 23, dan Mohamed Ali Borow, 25, telah disabitkan untuk peranan mereka dalam pelbagai serangan termasuk di Hotel Nasa-Hablod dan Hotel Sahafi Hotels serta teater nasional yang meragut lebih 15 nyawa termasuk wartawan, pegawai kerajaan dan orang awam di ibu negara Somalia iaitu Mogadishu,” lapor media rasmi dan tempatan hari ini.
Khamis lepas, tribunal tentera Somalia di Mogadishu telah menjatuhi hukuman mati ke atas seorang anggota militan Daesh untuk peranannya dalam pembunuhan lima orang termasuk orang awam dan seorang anggota keselamatan, dalam insiden tembakan berasingan pada 2018 hingga 2019 di utara dan selatan Somalia.
Somalia, yang terletak di Tanduk Afrika dan bersempadan dengan Ethiopia di barat, Teluk Aden di utara, telah menyaksikan pelbagai serangan ganas sejak dua dekad lepas.
Pada Oktober 2017, beratus-ratus orang terbunuh dalam insiden pengeboman berganda kereta di Mogadishu, serangan paling dahsyat dalam sejarah negara itu. – Bernama, 5 Ogos, 2019.
Komen