POLIS masih tidak menemui sebarang petunjuk kehilangan remaja warga Ireland, Nora Quoirin adalah disebabkan penculikan, kata timbalan ketua polis Negeri Sembilan.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, Che Zakaria Othman menafikan laporan media asing yang mendakwa polis mengesahkan kes Quoirin adalah kes culik.
“Pada peringkat ini tiada petunjuk yang boleh kaitkannya dengan kes culik. Laporan dibuat media asing tidak benar. Polis masih menyiasat kes ini sebagai kes orang hilang,” kata pegawai kanan polis itu.
Setakat jam 6 petang tadi, Che Zakaria berkata masih tiada perkembangan terbaru mengenai kes itu tetapi polis dan agensi lain sedang mempergiat usaha untuk mengesan gadis itu.
“Seperti dimaklumkan ibu bapanya, gadis ini ada masalah pembelajaran. Kami menyedari perkara ini dan anggota saya dan kumpulan lain sedang berusaha sedaya upaya untuk menyatukannya semula dengan keluarganya,” katanya.
Awal hari ini, Che Zakaria memberitahu wartawan seramai 119 anggota dari pelbagai agensi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu yang akan diketuai Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Kita juga menyerahkan sebuah platun PGA dari Semenyih untuk membantu. Mereka pakar tentang hutan,” kata Che Zakaria.
Quoirin, 15, hilang dari resort The Dusun, yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Lumpur.
Remaja itu tiba pada Sabtu untuk bercuti bersama keluarga selama dua minggu di Malaysia.
Beliau bersama ibu bapa dan dua adik beradiknya mendaftar masuk di resort itu pada 7 pagi Sabtu sebelum dilaporkan hilang kepada polis pada 11 pagi keesokan harinya.
Menurut Che Zakaria, resort itu tidak mempunyai kamera litar tertutup, yang hanya terhad di kawasan sekitar kaunter pendaftaran.
Yayasan Lucie Blackman, sebuah badan dukungan untuk warga Britain di luar negara, menyediakan talian khas dan alamat emel untuk dihubungi sekiranya ada sebarang maklumat.
“Remaja ini sudah hilang lebih 24 jam sekarang dan mustahak untuk semua tenaga yang ada dikerah mencarinya,” kata Ketua Eksekutif badan itu Matthew Searle.
“Ada kemungkinan beliau dilihat atau diambil oleh seseorang dan tidak dapat berhubung. Jadi kami menyeru semua pihak untuk berkongsi rayuan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, New Straits Times memetik pihak pengurusan The Dusun berkata ini adalah kejadian orang hilang pertama di resort itu sejak ia dibuka lebih 30 tahun lalu. – 5 Ogos, 2019.
Komen