Tembakan di Texas, jumlah rakyat Mexico maut meningkat kepada 6 orang


Serangan di sempadan bandar El Paso di Texas Sabtu lalu telah meragut 20 nyawa dan menyebabkan 26 orang cedera. – Gambar EPA, 5 Ogos, 2019.

JUMLAH rakyat Mexico yang maut dalam insiden tembakan rambang besar-besaran pada Sabtu lalu di El Paso, Texas meningkat kepada enam orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Presiden Andres Manuel Lopez Obrador pada Ahad.

“Adalah dikesali bahawa enam rakyat Mexico telah disahkan terkorban manakala tujuh lagi cedera di El Paso, Texas,” kata beliau ketika berucap di Michoacan.

Serangan di sempadan bandar El Paso di Texas itu telah meragut 20 nyawa dan menyebabkan 26 orang cedera.

Seorang lelaki kulit putih berusia 21 tahun telah ditahan.

Menteri Hal Ehwal Luar Marcelo Ebrard pada Ahad berkata Mexico akan mengambil tindakan perundangan bagi pihak saudara-mara mangsa dan menuntut perlindungan lebih ketat untuk komuniti Mexico-Amerika di Amerika Syarikat.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, El Paso menjadi antara titik masuk tersibuk bagi pendatang, terutama dari Amerika Tengah. – Bernama, 5 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen