BEKAS ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Peter Chong Fook Meng memberitahu polis yang dia diculik ketika di Hat Yai dan kemudiannya dibawa ke Pattaya sebelum dibebaskan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Amar Singh Ishar Singh berkata Chong dikatakan ke Hat Yai untuk bertemu dengan sumbernya yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh.
“Dia mendakwa diculik dan dibawa ke Pattaya,” kata Amar ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Amar berkata Chong turut memberitahu polis selepas dibebaskan dia menghubungi anak lelakinya yang kemudian membelikan tiket kapal terbang untuknya pulang ke Malaysia.
Katanya, polis akan menyiasat dakwaan Chong itu.
“Penculikan berlaku di Thailand. Biar kami hubungi pihak berkuasa Thai mengenai perkara ini. Buat masa ini, kes itu masih disiasat di bawah kes orang hilang,” katanya.
Terdahulu Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam satu teks mesej kepada The Malaysian Insight berkata polis akan memulakan siasatan terhadap Chong yang akhirnya kembali ke rumah selepas “hilang” sejak 5 April.
Chong keluar dari kondominiumnya di Kuala Lumpur pada 5 April dan tidak pulang ke rumah menyebabkan anak lelakinya, Darryl membuat laporan polis, tiga hari kemudian.
Beliau akhirnya pulang hari ini dari Pattaya, Thailand.
Sepasukan polis menunggunya di lapangan terbang dan mengambil keterangannya sebelum menyerahkannya kembali kepada keluarga kira-kira jam 2 petang.
Polis sebelum ini menolak khabar angin menyatakan Chong diculik, kerana maklumat diperoleh polis menunjukkan beliau pergi ke Thailand pada 7 April. – 16 April, 2017.
Komen