Tentera Rusia padam kebakaran hutan lebih 750,000 hektar di Siberia


Rusia telah mengisytiharkan keadaan kecemasan di kawasan hutan empat wilayah di Siberia dan Timur Jauh susulan insiden kebakaran yang berlaku secara besar-besaran. – Gambar AFP, 5 Ogos, 2019.

PASUKAN penerbangan Kementerian Pertahanan Rusia berjaya memadamkan kebakaran hutan di kawasan seluas 753,000 hektar di wilayah Krasnoyark dan Irkutsk di Siberia dalam tempoh empat hari lepas, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan kementerian itu pada Ahad.

Kumpulan penerbangan itu telah menyemburkan kira-kira 6,000 tan air di kawasan yang terbakar sejak permulaan operasi dan api yang merebak di kawasan seluas kira-kira 303,000 hektar berjaya dipadamkan pada Ahad, menurut kenyataan tersebut.

Pesawat pengangkut tentera jenis Il-76 dan helikopter Mi-8 milik Kementerian Pertahanan Rusia telah terlibat dalam operasi itu.

Rusia telah mengisytiharkan keadaan kecemasan di kawasan hutan empat wilayah di Siberia dan Timur Jauh susulan insiden kebakaran yang berlaku secara besar-besaran.

Menurut data Perkhidmatan Perlindungan Hutan Udara Rusia pada Rabu, kebakaran telah merebak ke kawasan seluas hampir 3 juta hektar. – Bernama, 5 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen