Polis rahsia sahkan tahan bekas calon presiden pembangkang


Omoyele Sowore ditahan kerana didakwa menggesa orang ramai melakukan revolusi di Nigeria. – Gambar Wikipedia, 5 Ogos, 2019.

POLIS rahsia Nigeria pada Ahad mengesahkan penahanan Omoyele Sowore, bekas calon presiden pembangkang daripada Parti Kongres Bertindak Afrika (AAC), lapor agensi berita China Xinhua.

Sowore diberkas pada awal pagi Sabtu, menurut Jabatan Perkhidmatan Negara, yang merupakan agensi polis rahsia itu.

Jurucakap agensi polis rahsia itu, Peter Afunanya memberitahu pemberita di Abuja bahawa ahli politik pembangkang tersebut ditahan kerana “beliau telah menggesa orang ramai melakukan revolusi di Nigeria.”

Afunanya berkata polis rahsia menuduh suspek berhubung dengan rakyat asing untuk menjejaskan kestabilan Nigeria.

Sowore, yang bertanding dalam pilihan raya presiden 2019 atas platform AAC namun tewas, telah merancang untuk mengetuai satu perarakan “revolusi” di Nigeria bermula Isnin, menurut laporan media tempatan.

Langkah itu dirancang diadakan di seluruh negara secara serentak, atas dakwaan dilakukan bagi membantah tadbir urus yang buruk.

Polis rahsia juga berkata gesaan untuk mengadakan revolusi berupaya mendatangkan ancaman terhadap keselamatan negara. – Bernama, 5 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen