SEBUAH kumpulan pendidikan vernakular hari ini mengumumkan bantahan rasmi kepada rancangan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan tulisan khat ke dalam kurikulum Bahasa Malaysia Tahun 4 di sekolah vernakular tahun depan.
Hasil pertemuan yang diadakan pagi tadi, kumpulan itu berkata mempelajari khat tidak selari dengan syarat untuk belajar Bahasa Malaysia dan tidak akan membantu pelajar bukan Melayu menguasai bahasa kebangsaan itu.
“Kami tidak bersetuju dengan Kementerian Pendidikan yang mahu memasukkan Khat dalam sukatan pelajar untuk pelajar di sekolah Cina dan Tamil kerana ia tidak memenuhi syarat dan tidak akan membantu pelajar bukan Melayu untuk menguasai Bahasa Malaysia dengan lebih baik,” kata kumpulan itu selepas mesyuarat di Ibu Pejabat Dong Zong di Kajang pagi tadi.
Mesyuarat itu dihadiri wakil 10 organisasi pendidikan vernakular Cina dan Tamil.
Kumpulan itu berkata mereka akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching esok untuk membincangkan perkara itu.
Walaupun begitu, kumpulan itu menegaskan bantahan mereka tidak bermakna mereka membantah jawi sebagai salah satu bentuk tulisan Bahasa Malaysia.
Mereka menjelaskan bantahan itu dibuat kerana akan menambah beban kepada guru dan pelajar.
“Kami tidak membantah unsur kepelbagaian budaya dalam negara mahupun penggunaan jawi atau Bahasa Malaysia. Kami merasakan dengan sukatan pelajaran baharu, para guru dan pelajar akan bertambah beban mereka,” jelas kumpulan itu.
Khat akan diperkenalkan tahun depan. Menurut Teo sebelum ini, dasar itu diputuskan pada 2016 oleh pentadbiran terdahulu.
Daripada 162 muka surat buku teks Bahasa Malaysia, enam muka surat akan dikhususkan kepada pembelajaran khat. – 5 Ogos, 2019.
Komen