SAKSI pihak pendakwa ke-54, bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu akan kembali ke memberi kesaksian pada perbicaraan SRC International melibatkan Najib Razak yang masuk hari ke-48 hari ini.
Soal balas masuk ke peringkat akhir ketika peguambela menyoalnya mengenai peranan ahli perniagaan Low Taek Jho di sebalik urus niaga jutaan ringgit yang dikaitkan dengan akaun bank Najib.
Soal balas hari ini mungkin akan menyentuh mengenai penutupan akaun bank Najib, serta pembatalan kad kredit, pada Mac 2015 dan reaksi Low selepas Bank Negara menyerbu AmBank cawangan Raja Chulan AmBank pada 6 Julai 2015.
Jumaat lepas, Yu memberitahu mahkamah mengenai percubaan Low memindahkan RM139 juta daripada SRC International Sdn Bhd pada Julai 2014.
Merujuk kepada log perbualan BlackBerry, Yu mengesahkan beliau menggunakan draf bank dan bukannya pemindahan digital untuk menyembunyikan pemindahan wang daripada akaun AmBank milik SRC International kepada Putra Perdana Construction, yang mempunyai akaun di Public Bank.
Yu memberi keterangan yang bekas pengarah kewangan 1Malaysia Development Bhd, Terence Geh membantu mengeluarkan tiga draf bank, berjumlah RM36 juta, RM76 juta dan RM27 juta.
Mahkamah Tinggi juga diberitahu bahawa Low memberitahunya agar berbohong mengenai pemindahan RM27 juta dana SRC International, yang diberi nama kod “Eagle 27”, ke dalam akaun Najib.
Beliau diarahkan meletakkan tujuan sebagai derma daripada kerabat diraja, padahal ia sebenarnya wangnya daripada SRC International.
Wang itu masuk ke dalam akaun milik Najib yang berakhir dengan digit “880”, yang merupakan tiga lagi pertuduhan dikenakan terhadapnya tetapi belum lagi dibicarakan.
Yu juga memberitahu mahkamah bahawa beliau dan beberapa ahli kumpulannya yang lain di AmBank menolak tawaran kerja pada 2013 daripada Low, yang pada masa itu mempunyai kaitan dengan 1MDB dan SRC International.
Yu secara konsisten menegaskan tidak menjalankan transaksi haram di bawah arahan Low atau Nik Faisal.
Pertuduhan terhadap Najib dikaitkan dengan pinjaman RM4 bilion dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, yang dituduh menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.
Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa.
Najib diwakili sekumpulan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.
Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan manakala Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengetuai perbicaraan.
The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
3.01pm: Terdapat satu lagi transaksi bernilai RM5 juta daripada Permai Bina Raya, yang dipindahkan ke akaun “906”. Jho Low meminta transaksi RM27 juta ke dalam akaun “880” dan urus niaga RM5 juta ditarik semula.
Pada 24 Disember 2014, Jho Low memberi tekanan kepada Yu supaya penarikan semula dana ini selesai pada akhir tahun.
2.26pm: Joanna Yu memberi keterangan semula dengan Harvinderjit meneruskan soal balasnya. Beliau memberitahu mahkamah pada 2011-2015 terdapat beberapa pengurus cawangan di AmBank. Beliau tidak boleh mengingati kesemua mereka.
Harvinderjit bertanya kepadanya jika beliau tahu sama ada mereka juga diminta meninggalkan bank. Yu berkata tidak pasti.
Imbas semula, Harvinderjit meneliti urus niaga wang sebanyak RM170 juta yang dipindahkan daripada SRC: RM140 juta dimasukkan ke akaun Putra Perdana dan daripada situ, RM27 juta dimasukkan ke dalam akaun Najib yang berakhir digit “880”.
Pengarah SRC International, Jerome Lee meminta transaksi RM27 juta dibatalkan dan didepositkan semula ke dalam akaun Putra Perdana.
2.19pm: Yu mengambil tempat di kandang saksi. Najib berpakaian kelabu gelap, berada di galeri awam. Peguam yang mewakili kedua-dua pihak hadir di mahkamah selepas berada di Mahkamah Rayuan pagi tadi.
9.19am: Pihak pendakwa dan peguambela berada di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah untuk memulakan perbicaraan 1MDB pada 19 Ogos. Kedua-dua pihak mahu perbicaraan SRC International diselesai dahulu.
Perbicaraan SRC International akan diteruskan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mahkamah rayuan mendengar permohonan peguam. – 5 Ogos, 2019.
Komen