PENUNJUK perasaan pro-demokrasi hari ini menyasarkan untuk menambah tekanan ke atas pemimpin pro-Beijing dengan melancarkan mogok besar-besaran dalam cubaan menunjukkan masih ada sokongan meluas terhadap pergerakan mereka walaupun huru-hara selama beberapa minggu.
Bandar selatan semi-autonomi China itu menyaksikan bantahan dan pertembungan selama dua bulan, tercetus daripada bantahan terhadap undang-undang ekstradisi kontroversi yang kemudian berkembang menjadi pergerakan meluas menggesa reformasi demokratik susulan sekatan kebebasan yang semakin terhakis.
Pihak berkuasa Hong Kong dan Beijing bagaimanapun bertegas dengan pendirian mereka dengan tentera China berkata ia bersedia menghapuskan kekacauan yang tidak dapat diuruskan dengan toleransi itu, jika diminta.
Puluhan penunjuk perasaan didakwa atas tuduhan merusuh.
Polis rusuhan pada malam Sabtu dan Ahad melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan.
Pergerakan bantahan yang sebahagian besarnya tanpa pemimpin itu menggunakan aplikasi mesej sosial untuk menyelaras protes dan tindakan itu mendapat perhatian berbanding gesaan sebelumnya sejak beberapa minggu lalu.
Pada sidang media kelmarin, penganjur protes yang kebanyakannya menyembunyikan identiti mereka di sebalik topeng berkata, kira-kira 14,000 orang dari lebih 20 sektor komited mengadakan perhimpunan awam.
Penduduk dari segenap golongan menyokong rancangan itu dalam talian sama ada mogok atau cuti sakit hari ini, daripada kakitangan awam dan pekerja sosial sehinggalah kru penerbangan, juruterbang, pemandu bas, malah kakitangan Disneyland.
Ada juga gesaan diperbaharui untuk mengganggu sistem kereta api bawah tanah ketika waktu puncak awal pagi ini.
Aktivis melaksanakan pelan sama minggu lalu yang menjurus beberapa jam kesesakan serta kelewatan, namun tidak begitu berjaya melumpuhkan bandar raya itu. – AFP, 5 Ogos, 2019.
Komen