POLIS Kanada berkata pasukan penyelam dihantar ke sungai di Manitoba, bagi menyertai pemburuan sejak berminggu yang lalu terhadap dua remaja suspek tiga kes bunuh.
Lima anggota daripada pasukan penyelamat penyelam dihantar ke Gilham di utara Manitoba untuk menjalankan pencarian bawah air di kawasan itu, kata polis diraja Kanada (RCMP) dalam satu kenyataan.
Mereka dikerah selepas pegawai RCMP menemui satu bot aluminium yang rosak di tepi Sungai Nelson dalam operasi mencari menggunakan helikopter pada Jumaat.
Penemuan bot itu beberapa hari selepas polis berkata pencarian diperlahankan di mana sebelum ini, operasi itu membabitkan anjing pengesan, dron dan pesawat mencari yang dilengkapi kamera infra merah.
Dua remaja diburu Kam McLeod, 19, dan Bryer Schmegelsky,18, kerana disyaki membunuh Lucas Fowler, 23, warga Australia dan teman wanitanya, warga AS Chynna Deese, 24, yang ditemui dengan kesan tembakan di Lebuh raya Alaska di utara British Columbia pada 15 Julai.
Remaja itu juga didakwa membunuh Leonard Dyck, 64, seorang profesor biologi warga Kanada, di mana mayatnya turut ditemui di utara British Columbia.
RCMP tidak memperincikan lokasi sungai sepanjang 600km itu, di mana pencarian dibuat, dan pihak media tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu.
Penyelam tiba di Gillam pada Sabtu, lokasi terakhir suspek yang diketahui.
Dua remaja itu dipercayai bersembunyi di Gillam, lebih 620 batu di utara Winnipeg, ibu kota Manitoba, selepas memandu lebih 1,864 batu dari British Columbia.
Kawasan itu penuh dengan hutan tebal, paya dan serangga menggigit selain beruang. – AFP, 5 Ogos, 2019.
Komen