Kashmir dikenakan perintah berkurung, 70,000 askar dikerah


Anggota tentera berkawal di bandar Kashmir. Perintah berkurung dikenakan bermula awal hari ini dengan puluhan ribu anggota dikerah mengawal keadaan. – Gambar EPA, 5 Ogos, 2019.

PIHAK berkuasa Kashmir yang ditadbir India meletakkan sebahagian besar rantau bertelagah itu di bawah perintah berkurung awal hari ini ketika pihak berkuasa menghantar berpuluh ribu askar tambahan dan menuduh Pakistan punca pertembungan di sempadan.

Komunikasi terputus dengan rangkaian mudah alih persendirian, perkhidmatan Internet dan talian telefon tetap diputuskan.

Ketegangan terbaru itu bermula sejak 10 hari lalu selepas New Delhi menghantar sekurang-kurangnya 10,000 anggota tentera tetapi sumber keselamatan memberitahu jumlah sebenar mencecah 70,000 anggota.

“Seperti mana arahan, tiada pergerakan orang awam dibenarkan dan semua institusi pendidikan perlu ditutup.

“Ada larangan penuh sebarang pertemuan awam atau perhimpunan ketika operasi ini,” kata arahan kerajaan negeri untuk Srinagar, ibu kota Kashmir ditadbir India dan kawasan sekitar.

Universiti, sekolah dan kolej di Jammu yang dikuasai penduduk Hindi juga diarah tutup dan satu daerah di rantau itu diletakkan dalam perintah berkurung.

Beberapa daerah lain di negeri majoriti Islam itu juga diletakkan di bawah sekatan, lapor media tempatan.

Sebelum rangkaian itu terganggu, bekas pemimpin politik kanan dan terkini Kashmir menulis di Twitter, mereka diletakkan dalam tahanan rumah.

Rantau Himalaya itu kembali menjadi tumpuan sejak beberapa hari lalu, selepas serangan ke atas konvoi separa tentera India didakwa dilancarkan kumpulan berpusat di Pakistan.

Mereka mengawal sebahagian rantau itu sejak tamatnya pemerintahan koloni British di benua kecil India itu pada 1947. Namun kedua-duanya berjuang mendapatkan kawalan penuh wilayah itu.

Kerajaan memperkenalkan langkah keselamatan lain terhadap dakwaan ancaman keganasan termasuk gesaan menyimpan bekalan makanan dan bahan api. – AFP, 5 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen