POTONGAN dalam cukai pendapatan dan penggunaan perlu ada dalam bajet 2020 kerajaan jika ia mahu merangsang ekonomi tempatan dan menghentikan kelembapan ekonomi, kata pakar.
Pakar ekonomi menjangkakan ia akan menjadi antara langkah boleh diambil oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dalam peluasan bajet untuk 2020 yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini.
Kerajaan dijadualkan membentangkan bajet di Dewan Rakyat pada 11 Oktober.
Peluasan bajet bermakna meluaskan penambahan bekalan wang yang akan meningkatkan aktiviti ekonomi sekali gus merangsang perbelanjaan pengguna dan perniagaan.
Pakar ekonomi berkata meletakkan wang di tangan orang awam menerusi potongan cukai individu dan perniagaan, bersama dengan bantuan sara hidup lebih banyak kepada keluarga berpendapatan rendah, akan membantu Malaysia dalam keadaan ekonomi dunia yang perlahan, akibat perang dagangan AS-China dan Brexit.
Jika tidak, Malaysia dijangka terjejas teruk akibat ekonomi eksport, kata mereka.
Bagaimanapun, Dr Ali Salman dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata kerajaan perlu fokus kepada bajet seimbang bagi mengelak tekanan terhadap kewangannya.
“Walaupun ada justifikasi untuk hutang yang ditanggung bagi membiayai projek pembangunan terpilih, ia tidak sepatutnya membazirkan wang dengan membiayai projek yang tidak ada pulangan pelaburan,” kata Ali.
Ini kerana katanya, perbelanjaan tidak cekap kerajaan akan membawa kepada peningkatan defisit negara di mana perbelanjaan melebihi pendapatan.
Defisit pada masa ini kira-kira RM40 bilion atau 3.3% daripada output ekonomi atau kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Bagaimanapun, peluasan bajet tidak perlu perbelanjaan berlebihan, kata Lee Heng Guie dari Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC).
“Peluasan bajet tidak bermakna kerajaan akan berkompromi dengan laluan menyatukan fiskalnya. Atau, ia akan mengguna pakai dasar bajet yang disasarkan untuk mengekalkan pelaburan domestik dan permintaan.”
Sementara itu, Dr Yeah Kim Leng berkata strateginya ialah Putrajaya perlu berbelanja secukupnya untuk mengekalkan pertumbuhan stabil, pekerjaan penuh dan inflasi rendah, sementara memastikan defisit tidak naik terlalu tinggi.
“Pertumbuhan yang mampan akan memudahkan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan hutangnya,” kata Yeah, felo kanan di Jeffrey Cheah Institute on Southeast Asia (JCI).
“Cabarannya ialah untuk mencari keseimbangan sesuai antara kenaikan perbelanjaan untuk mengekalkan pertumbuhan dan pertambahan dalam defisit dan keberhutangan yang mengancam kebolehpercayaan kredit kerajaan.” – 5 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen