Penduduk dipindah berikutan ancaman empangan runtuh 


Ssebahagian daripada struktur dinding empangan Todbrook yang runtuh ditambak dengan guni pasir.– Gambar EPA, 4 Ogos, 2019.

55 lagi kediaman dipindahkan dari pekan English berikutan ancaman empangan Toddbrook runtuh, kata pihak berkuasa pada Ahad.

Pihak berkuasa kini bertungkus lumus untuk mengurangkan tekanan terhadap empangan berkenaan dengan menurunkan paras air susulan hujan lebat di kawasan berkenaan.

Kira-kira 1,500 penduduk dipindahkan dari Whaley Bridge di Derbyshire selepas sebahagian tembok empangan berkenaan runtuh.

Helikopter tentera bertindak membuang guni pasir untuk menutup rekahan di struktur binaan berkenaan manakala pihak berkuasa kecemasan berusaha mengeluarkan air dari kawasan tadahan itu.

Paras air berjaya dikurangkan kepada satu pertiga sejak Khamis lalu, kata timbalan ketua bomba Gavin Tomlinson kepada pemberita pada Ahad.

“Keutamaan kami adalah untuk mengepam air keluar daripada kawasan tadahan sebanyak mungkin untuk melindungi penduduk di Whaley Bridge daripada risiko empangan pecah,” katanya. 

Tambahnya, sebanyak 22 buah pam digunakan sejak malam tadi dan kini 35% daripada air di kawasan tadahan berkenaan telah dikeluarkan.

“Kerja ini akan diteruskan sehingga jurutera yakin paras air berada di tahap yang selamat dan risiko dapat diatasi.” – AFP, 4 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen