Zakir Naik enggan disiasat di India, tidak mahu diseksa


Muzliza Mustafa

PENCERAMAH kontroversi Dr Zakir Naik hari ini berkata beliau sedia membantu Agensi Siasatan Negara India (NIA) berhubung siasatan terhadapnya, dengan syarat soal siasat dilakukan di tempat yang “neutral”.

“Saya sedia bekerjasama. Mereka boleh temu bual saya menerusi Skype atau persidangan video tetapi mereka kata tidak, saya perlu kembali ke tanah air. Tetapi kenapa saya perlu buat begitu?

“Jika saya ke sana, mereka akan seksa saya. Mereka pernah buat begitu kepada Muslim lain. Saya ada bukti,” katanya selepas satu majlis di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata keengganan NIA menerima cadangannya menunjukkan yang NIA ada motif tersembunyi.

“Ia siasatan pengecut, mereka tidak berani. Jika mereka mahu mereka boleh datang sini berbincang. Jika anda mahu berdepan, jadi datang ke sini, datang ke tempat yang neutral,” katanya.

Zakir sebelum itu menghadiri sesi bertemu 150 sarjana Muslim Malaysia di Rumah Alumni Universiti Malaya di sini, di mana beliau menyampaikan ceramah mengenai Islamofobia.

Presiden Perkasa Ibrahim Ali hari ini menyampaikan Anugerah Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara itu pada majlis berkenaan sebagai menghargai kerja Zakir dalam memartabatkan syiar Islam.

Ibrahim dalam ucapannya berkata anugerah itu tidak membawa apa-apa keuntungan wang ringgit, tetapi ia sangat memberi makna sebagai pengiktirafan terhadap usaha berterusan Zakir, misi, dan usahanya untuk Islam.

Laporan berita portal Times of India semalam berkata NIA meminta bantuan Interpol untuk memasukkan Zakir di bawah notis merah untuk menyekat pergerakannya di luar Arab Saudi jika beliau gagal tampil pada Isnin.

Menurut laporan itu, Zakir lari dari India selepas siasatan dimulakan terhadapnya dan organisasi yang diasaskannya Islamic Research Foundation kerana propaganda keganasan.

Laporan itu berkata agensi berkenaan mahu menyekat pergerakan Zakir menerusi notis merah yang membolehkan Interpol dan Arab Saudi menahannya.

Ibrahim berkata anugerah itu juga diberikan untuk menegaskan yang Perkasa berusaha untuk melindungi Perlembagaan Persekutuan, menegakkan kedaulatan undang-undang, melindungi keharmonian agama di Malaysia dan perpaduan bangsa.

“Ini sebabnya Perkasa mempunyai ribuan Muslim dan penganut Kristian terdiri daripada peribumi di Sabah dan Sarawak sebagai ahli,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluannya pada sesi bertemu Zakir bersama 150 ahli akademi Islam, anjuran kumpulan itu.

Ibrahim berkata ini kali pertama Zakir menerima jemputan daripada organisasi bukan kerajaan.

“Pertemuan ini simbol perjuangan Perkasa yang tidak berkesudahan untuk Malaysia. Ia juga simbol yang Dr Zakir mengiktiraf misi Perkasa untuk memelihara keamanan dan keharmonian Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Ibrahim turut memberi amaran kepada mana-mana pertubuhan atau individu bukan Islam termasuk “penganut” Islam liberal supaya berhenti mempolitikkan isu agama termasuk berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 serta Akta Undang-undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) (Akta 164). – 16 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen