10 kerusi DUN Perak jamin Umno-PAS menang dua pertiga


SM Amin

Umno dan PAS pada awalnya menguasai 30 kerusi tetapi tidak dapat membentuk kerajaan campuran kerana dua wakil rakyat Umno menyokong menteri besar Ahmad Faizal Azumu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2019.

SEPULUH kerusi DUN Perak akan menjadi taruhan utama PAS dan Umno untuk memastikan kemenangan majoriti dua pertiga di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Perak, Saarani Mohamad berkata negeri itu akan dirampas semula sekiranya kedua-dua parti tidak lagi bertembung di 10 kerusi tersebut.

Katanya 10 kerusi terbabit adalah adalah Titi Serong, Kuala Kurau, Kamunting, Hulu Kinta, Manjoi, Behrang, Chenderiang, Sungai Rapat, Pasir Panjang dan Tebing Tinggi.

Kesemua kerusi yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru itu dimenangi Pakatan Harapan dalam PRU14.

Saarani seterusnya berkata, PAS dan Umno juga akan dapat menang mudah sekiranya masing-masing dapat mengekalkan 30 kerusi yang dikuasai waktu ini.

“Umno dan PAS Perak takkan berpatah balik. Kita akan pastikan kembali menerajui negeri Perak sama ada melalui pilihan raya negeri atau PRU15,” katanya.

Sekiranya 27 kerusi kekal dimenangi Umno, tiga kerusi dikekalkan PAS, jumlah itu sudah cukup untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datuk, hari ini.

Keputusan PRU14 menyaksikan Pakatan Harapan berjaya merampas negeri Perak daripada Umno selepas mendapat 29 kerusi berbanding Umno (27 kerusi) dan PAS yang mendapat tiga kerusi.

Umno dan PAS pada awalnya menguasai 30 kerusi tetapi tidak dapat membentuk kerajaan campuran kerana dua wakil rakyat Umno menyokong menteri besar Ahmad Faizal Azumu.

Dua wakil rakyat Umno tersebut adalah Adun Tualang Sekah Nolee Radzi dan Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bulan lalu mengumumkan Saarani sebagai calon menteri besar Perak sekiranya Barisan Nasional dan PAS berjaya merampas negeri itu dalam PRU15 akan datang.

Umno dan PAS akan menandatangani piagam kerjasama politik pada 14 September depan, antaranya bagi memastikan pertandingan satu lawan dalam PRU15.

Bagaimanapun, rundingan bagi kerusi yang akan dipertandingkan tidak akan dimuatkan dalam perjanjian itu. – 4 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen