Kerajaan tak mampu kawal isu sensitif, kata Ku Li


SM Amin

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata kerajaan sekarang ini adalah kerajaan ‘tergantung’ iaitu tidak ada satu parti yang mempunyai majoriti mudah dalam Parlimen.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2019.

KERAJAAN Pakatan Harapan tidak mampu mengawal isu sensitif melibatkan agama dan kaum di negara ini kata Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh berkata, keadaan ini berlaku kerana tiada parti dalam kerajaan yang mempunyai sokongan kuat untuk membentuk kerajaan sehingga menyebabkan berlaku kecelaruan.

“Kita rasa kerajaan yang ada sekarang tidak mempunyai keupayaan untuk mengawal isu-isu seperti ini kerana kerajaan sekarang ini kerajaan ‘tergantung’ – tidak ada satu parti yang mempunyai majoriti mudah dalam Parlimen.

“Maka tidak ada ketentuan bagaimana hendak menentukan arah tuju pemerintahan, baik di negeri atau di peringkat Persekutuan,” katanya kepada perwakilan Umno Bagan Datuk hari ini.

Beliau memberi contoh kes kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad oleh pengguna Facebook bernama Wendy Loong bulan lalu.

Siasatan polis setakat ini mendapati kenyataan itu dibuat oleh pengguna Facebook yang menggunakan akaun palsu.

Putera diraja Kelantan itu juga menggesa ahli Umno bangkit menentang individu yang melakukan provokasi agama dan bangsa termasuk penghinaan terhadap institusi Raja-Raja.

“Ada pihak-pihak yang cuba menguji keutuhan dan kekuatan rakyat. Ada yang cuba menghasut dari segi agama, kaum dan sebagainya. Ini semua ujian dan menjadi cabaran kepada kita.

“Apakah kita boleh membiarkan semua ini? Baru-baru ini ada yang menghina nabi kita. Kita patut bertegas menentang mereka tidak kira datang dari mana. 

“Kita juga tidak boleh biarkan mereka memperkecilkan keistimewaan-keistimewaan yang telah dijamin oleh perlembagaan,” ujarnya.

Beliau berucap semasa merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian tersebut hari ini. – 4 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen