PEMIMPIN cabang PKR yakin Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri akan datang.
“Kepercayaan kami adalah berdasarkan hubungan baik antara perdana menteri, Timbalan Perdana Menteri (Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan Anwar,” kata Ahli Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad dalam sidang akhbar hari ini.
Pemimpin PKR itu bercakap selepas sidang akhbar bagi menunjukkan sokongan kepada kepimpinan Anwar dalam parti itu dan untuk menjadi perdana menteri kelapan.
“Perdana menteri juga menyuarakan komitmennya (menyerahkan jawatan kepada Anwar) di dalam dan luar negara beberapa kali dan saya percaya ia akan berlaku.
“Ini adalah inisiatif kami untuk menunjukkan bahawa kami setia kepada Anwar dan beliau adalah calon terbaik untuk menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri,” kata ketua cabang PKR Kangar hari ini.
Beliau berkata inisiatif mereka juga sebagai penegasan komitmen terhadap perjanjian Pakatan Harapan untuk Anwar menggantikan Dr Mahathir.
“Kami mahu menunjukkan bahawa kami setia dan bersedia untuk menunggu,” katanya.
Noor Amin menjawab soalan sama ada ketua bahagian PKR bimbang yang penyerahan jawatan tersebut tidak akan berlaku.
Terdahulu, kumpulan yang mewakili 198 parti PKR menunjukkan sokongan mereka terhadap Anwar untuk terus memimpin parti walaupun berlaku masalah dengan timbalannya, Mohamed Azmin Ali.
Ketika kemelut Azmin-Anwar, ada pihak dalam PKR yang menyatakan Dr Mahathir sepatutnya menamatkan penggalnya sebagai perdana menteri bukannya menyerahkan kepada Anwar seperti yang dipersetujui.
Sekutu Azmin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata individu “harus mengetepikan kepentingan diri” demi negara dan membenarkan Dr Mahathir berkhidmat sehingga habis penggal.
Noor Amin berkata pelan penggantian Dr Mahathir dipersetujui oleh semua parti komponen PH.
“Ini merupakan persetujuan yang mereka buat bersama dan PM sudah pun mengakuinya. Satu-satunya perkara yang tiada adalah tarikh tertentu (untuk penyerahan).
“Kami akan mengikut apa yang sudah dipersetujui. Pandangan lain hanyalah pandangan peribadi,” kata ahli Parlimen itu. – 4 Ogos, 2019.
Komen