KERAJAAN negeri Johor akan mencari kawasan penrindustrian baharu bagi memindahkan kilang dari Pasir Gudang, kata Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal hari ini.
Menurutnya ia merupakan sebahagian daripada langkah jangka masa panjang yang diambil bagi menyelesaikan masalah pencemaran daripada kilang yang terletak di Pasir Gudang.
“Kita akan melihat keputusan kajian dan kita akan mengambil langkah sewajarnya.
“Sekiranya terdapat kilang yang perlu dipindahkan, kita akan lakukannya,” katanya selepas sesi town hall bersama penduduk di stadium Pasir Gudang hari ini.
Sahruddin turut mengakui kawasan perindustrian Pasir Gudang sudah tepu dengan kilang.
“Pejabat Tanah daerah akan mencari tempat sesuai di luar Pasir Gudang untuk kawasan perindustrian baharu.”
Minggu lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kaji selidik untuk memindahkan kilang yang berisiko tinggi di Pasir Gudang akan siap bulan ini.
Beliau berkata, kementerian akan membantu kerajaan negeri dengan dapat kajian dan analisisnya, namun terpulang kepada kerajaan negeri untuk putuskan pemindahan itu.
Setakat ini, sebanyak 226 kilang di Pasir Gudang telah diperiksa oleh Jabatan Alam Sekitar Johor.
Menurut pengarahnya, Wan Abdul Latif Wan Jaafar, sebanyak 166 kompaun dikeluarkan atas kesalahan berkaitan pelupusan bahan buangan berjadual,
cecair buangan industri dan kumbahan.
18 buah kilang haram turut ditutup.
Bulan lalu, lebih 700 orang, kebanyakannya pelajar sekolah rendah terpaksa menerima rawatan kerana mengalami masalah pernafasan yang dipercayai berpunca daripada bahan buangan daripada kilang kimia di kawasan berhampiran.
Ia merupakan insiden kedua pencemaran toksik di daerah itu.
Insiden pertama berlaku pada Mac lalu yang mana lebih 1,000 orang menerima rawatan di hospital dan semua sekolah di daerah berkenaan ditutup beberapa hari. – 4 Ogos, 2019.
Komen