PUTRAJAYA kini sedang merangka rang undang-undang perpaduan negara, dua tahun selepas mengetepikan tiga draf rang undang-undang (RUU) untuk mengekalkan Akta Hasutan - undang-undang yang sering digunakan untuk menghentikan kritikan terhadap kerajaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Joseph Kurup mengumumkan rancangan untuk membentangkan usul rang undang-undang baharu itu hari ini namun ia perlu dibincangkan dengan Kabinet terlebih dahulu, dan menyatakan tiga usul sebelum ini ditolak kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Kami sedang merangka satu lagi. Sekiranya seseorang didapati bersalah mengatakan sesuatu yang boleh menjejaskan perpaduan, kami mahu individu ini diarahkan menjalani sesi kaunseling, dan sekiranya individu terbabit tidak menunjukkan perubahan, barulah kita akan serahkan kepada pihak berkuasa.
“Ia masih lagi dikaji. Kami ingin tahu sekiranya masih ada ruang untuk membuat pembetulan,” katanya selepas melancarkan forum antara agama di Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.
30 ahli Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) telah merangka RUU Racial and Religious Hate Crimes Bill, National Harmony and Reconciliation Bill, dan National Harmony and Reconciliation Commission Bill.
NUCC ditubuhkan pada 25 November, 2014 sebagai salah satu inisiatif Perdana Menteri Najib Razak, yang diamanahkan untuk menyediakan rangka perpaduan nasional dan perpaduan sosial.
Namun rang undang-undang itu tidak dibentangkan di parlimen kerana kerajaan memutuskan untuk mengekalkan Akta Hasutan walaupun mengumumkan ia akan dimansuhkan.
Perkembangan terbaru di Malaysia yang memperlihatkan diskriminasi agama mendorong Putrajaya untuk memulihkan Rang Undang-undang Harmoni dan Rekonsiliasi Nasional.
Adik kepada perdana menteri, Nazir Razak, yang juga ahli NUCC baru-baru ini mempersoalkan menerusi Instagram apa berlaku kepada rang undang-undnag untuk menghentikan diskriminasi berdasarkan agama, kaum, keturunan, tempat lahir, jantina dan kelainan upaya.
“Apa yang berlaku kepada rang undang-undang perpaduan nasional? Kita perlu segera mentakrifkan dan meluluskan undang-undang apa yang boleh diterima dan bagaimana kita kaitkan antara satu sama lain. Apa itu perkauman, apa yang bukan. Apa pengasingan yang diterima, apa yang tidak. Ia bermula tanpa kesalahan, tetapi terpaksa dihadapi dengan segera,” tulisnya, berikutan bantahan awam ke atas kedai dobi hanya Muslim di Muar minggu lepas.
Pembangkang berharap untuk meneruskan rang undang-undang Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi Negara di Parlimen, tetapi mengakui ia akan mengambil masa yang lama sebelum ia boleh dilaksanakan.
Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga dalam NUCC berharap untuk membentangkan usul persendirian rang undang-undang itu pada sidang Parlimen yang akan bermula pada 23 Oktober. Namun ia terpulang kepada Speaker, katanya.
“Saya harap dapat bangkitkannya menerusi usul persendirian pada sidang Dewan Rakyat akan datang..namun ia pasti akan ambil masa yang lama untuk berjaya,” katanya kepada The Malaysian Insight pada Isnin.
“Mana-mana ahli Parlimen bokeh ajukan, namun Speaker akan menentukan untuk menerima atau menolaknya. Ia boleh ditolak begitu sahaja, tetapi saya akan sediakan draf. Saya akan bangkitkan juga bersama rakan Pakatan Harapan.”
Katanya, pakatan itu pasti “mencadangkan” bahawa tiga rang undang-undang yang digubal oleh NUCC dijadikan undang-undang untuk menghentikan diskriminasi, provokasi kaum, agama, dan kebencian.
Mujahid merupakan sau-satunya wakil pembangkang dalam NUCC. Beliau merupakan ahli PAS ketika dilantik dalam majlis itu. – 5 Oktober, 2017.
Komen