EZEQUIEL Villalonga menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Institut Provolo di Mendoza yang merupakan sekolah katolik untuk kanak-kanak pekak.
Tetapi dalam usianya 18 tahun, kini dia telah hilang semua kepercayaannya terhadap gereja.
Dia dan rakan sekelasnya mendakwa mereka menjadi mangsa pedofilia oleh paderi yang mengendalikan institusi berkenaan.
“Saya fikir semua di gereja adalah palsu.
“Saya rasa mereka berbohong dan jahat,” katanya dalam bahasa isyarat ketika perbicaraan paderi berkenaan Isnin lepas.
Ezequiel hanya belajar bahasa isyarat sebagai orang dewasa kerana sekolah yang terletak di kaki bukit Andean itu tidak mengajarnya bagaimana untuk bercakap.
Dia hanya berusia tujuh bulan ketika ibunya sedar dia pekak. Apabila Ezequiel berusia empat tahun, dia dihantar ke Provolo yang dtubuhkan pada 1995 dan terletak 1,000 kilometer dari barat Buenos Aires.
Sehingga Ezequiel berusia 16 tahun, ketika skandalnya diketahui ramai, dia menghabiskan masa di dalam bangunan dan hanya dibenarkan pulang ke rumah pada hujung minggu.
“Hidup di sana teruk. Kami tak belajar apa-apa. Kami tak dapat bercakap dengan satu sama lain kerana kami tak tahu berbahasa isyarat.
“Kami akan menulis tanpa mengetahui apa yang dikatakan oleh mereka dan ketika kami bertanya kepada rakan sekelas lain, tiada sesiapa faham apa-apa,” katanya ketika ditemui bersama seorang peguam.
Kenyataannya dan 20 orang mangsa lain diambil pada perbicaraan untuk paderi Nicola Corradi, 83, dan Horacio Corbacho, 59, serta bekas tukang kebun sekolah Armando Gomez, 49.
“Saya mahu mereka semua ke penjara,” katanya.
Corradi datang ke Argentina pada 1970 dari Institut Provolo asal di Verona yang turut terlibat dalam skandal pedofilia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 1998, beliau dipindahkan 42 kilometer ke utara Mendoza di mana beliau bekerja sebagai ketua institut sehinggalah penangkapannya pada November 2016.
Seramai 15 orang lagi turut dituduh dan akan dihukum dalam dua perbicaraan lain. – AFP, 4 Ogos 2019.
Komen