CALON presiden Demokrat Beta O’Rourke menuduh Presiden Donald Trump yang mencetuskan kebencian selepas insiden tembakan di Texas yang disiasat polis sebagai kemungkinan kes jenayah benci.
Bercakap kepada wartawan di luar hospital di El Paso ketika melawat mangsa tembakan, O’Rourke berkata Trump sudah membuktikan dirinya bersikap perkauman dengan serangan lisan ke atas empat ahli Kongres wanita daripada etnik minoriti dan pernah melabelkan rakyat Mexico sebagai perogol.
“Beliau rasis dan menyemarakkan perkauman di negara ini. Ia bukan sekadar menyinggung perasaan tetapi turut mengubah ciri negara ini dan membawa kepada keganasan.
“Negara ini menunjukkan peningkatan dalam jenayah benci sejak tiga tahun lalu sepanjang pentabdiran yang menyaksikan presiden menggelar rakyat Mexico sebagai perogol dan penjenayah,” katanya.
O’Rouke berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai manifesto ditulis penyerang yang membantah pencerobohan golongan Hispanik di Texas yang bersempadanan dengan Mexico.
Menurut perangkaan bancian AS, lebih 80 peratus penduduk El Paso berketurunan Hispanik.
Seorang suspek yang disoal siasat oleh pihak atas insiden tembakan itu tidak dinamakan oleh pihak berkuasa walaupun media AS telah mengenal pastinya sebagai Patrick Crusius, 21, yang tinggal di pinggir Dallas, Texas.
Selepas hampir memusnahkan karier Senator Texas Ted Cruz pada pilihan raya pertengahan tahun lalu, O’Rourke menjadi salah seorang yang digemari untuk mencabar Trump untuk jawatan presiden ketika dia mengumumkan pencalonannya pada Mac. Bagaimanapun kempennya telah terputus sejak itu.
Trump berdepan dengan tuduhan rasisme yang semakin meningkat sejak dia menyerang empat ahli Parlimen pada bulan lepas dalam beberapa tulisannya di Twitter dengan mengatakan mereka harus “kembali” ke negara mereka. Presiden itu menegaskan dia tidak ada “tulang rasis” di dalam tubuhnya. – AFP, 4 Ogos, 2019.
Komen