KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) perlu menjelaskan dan menerangkan peranan tujuh anggota pasukan petugas khas (STF) yang meneliti hasil siasatan bahawa Pastor Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat diculik oleh Cawangan Khas, kata satu kumpulan sivil.
Jurucakap Rakyat Bantah Penghilangan Paksa (Caged), Rama Ramanathan berkata bidang tugas STF masih belum jelas dan kementerian perlu ada skop yang tepat bagi penyiasatannya.
“Adakah tujuan pasukan petugas ini untuk memeriksa laporan Suhakam yang Bukit Aman terlibat, atau sebenar memburu mereka yang bertanggungjawab bagi penculikan seperti cadangan dinyatakan dalam laporan?” katanya kepada The Malaysian Insight.
Rama merujuk kepada laporan mengenai siasatan awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang mendapati Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap penculikan Koh dan pengasas Perlis Hope Amri.
Panel Suhakam mengeluarkan laporannya 120 hari lalu. Kata Rama, dalam cadangannya ia menggunakan perkataan seperti “membuka semula” dan “menyiasat semula” kes, kata Rama.
Ia juga mencadangkan kes dianggap sebagai kes kehilangan paksa dan bukannya orang hilang.
Satu lagi cadangan menyatakan polis perlu mengemukakan semua kertas siasatan dan/atau risikan yang dikumpulkan setakat ini kepada STF untuk tindakan selanjutnya.
Bagaimanapun, pengumuman Menteri Dalam Negeri Muhiyiddin pada Jun mengenai pembentukan pasukan petugas tidak menunjukkan bidang tugas yang disyorkan oleh Suhakam diikuti.
Rama berkata kementerian itu sejak itu tidak memberikan butiran yang lebih jelas mengenai bagaimana cadangan Suhakam itu dilaksanakan.
“Siapa sebenarnya yang akan melakukan kerja penyiasatan? Adakah mereka mempunyai kuasa statutori untuk melakukannya?
“Kami tidak sepenuhnya menolak pasukan petugas, tetapi kami mahu tahu, apakah bidang tugas mereka?” kata beliau.
“Adakah mereka akan menyemak semula kes Koh yang dikendalikan oleh pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya ASP Supari Mohammad dan kes Amri yang dikendalikan oleh pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Perlis Inspektor Khor Yi Shuen?
“Adakah mereka akan menyemak semula petugas penyiasatan butu harian dua pegawai yang memberitahu panel Suhakam bahawa buku harian itu tidak boleh ditunjukkan kerana ia di bawah Akta Rahsia Rasmi?
“Ini adalah beberapa isu yang mesti dilihat.”
Caged bersama Suara Rakyat Malaysia (Suaram), memainkan peranan penting dalam permulaan siasatan awam terhadap kehilangan Koh dan Amri.
Selepas lebih setahun pendengaran awam, Suhakam menutup kes Koh pada Disember 2018, manakala kes Amri ditutup pada tahun yang sama pada Oktober. – 4 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen