SEORANG warga Iran yang menjalani hukuman penjara seumur hidup atas sabitan membuat laman web lucah telah melarikan dari negara itu semasa pembebasan jangka pendek dari penjara dan telah tiba di Kanada, kata pihak berkuasa Iran dan keluarganya.
Pihak berkuasa semalam mengesahkan laporan TV negeri bahawa Saeed Malekpour yang juga penduduk tetap Kanada telah meninggalkan republik Islam berkenaan.
Jurucakap kehakiman Gholamhossein Esmaili berkata lelaki itu dihalang meninggalkan negara tetapi telah berbuat demikian dan belum kembali.
“Lelaki itu dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan telah dipenjara lebih 11 tahun,” katanya seperti yang dipetik oleh agensi berita rasmi Mizan Online.
Menurutnya, Malekpour diberi tempoh tiga hari cuti pada 20 Julai tetapi tidak pulang semula ke penjara.
Seorang ahli keluarga Malekpour menyiarkan video di Twitter mengesahkan kedatangannya ke Kanada.
Maryam berkata, “mimpi ngeri akhirnya berakhir” dan berterima kasih kepada semua yang menyokong keluarganya.
Seorang professor di McGill Universiti di Montreal Payam Akhavan yang menyokong Malekpour memberitahu CBC TV bahawa keluarga dan peguamnya di Iran tidak tahu apa-apa mengenai rancangan melarikan diri itu.
Malekpour ditangkap pada Disember 2008 apabila dia pulang ke negara asalnya untuk melawat ayahnya yang sedak nazak. Dia dituduh mengendalikan laman web lucah.
Dia pada mulanya dijatuhi hukuman mati tetapi kemudian dikenakan hukuman penjara seumur hidup pada Ogos 2013.
Menurut laporan pada masa itu, dia didapati bersalah atas tiga tuduhan termasuk “merancang dan mengawal laman web kandungan dewasa” serta “menghina kesucian Islam”. – AFP, 4 Ogos, 2019.
Komen