PENYANYI rap Amerika Syarikat (AS), A$AP Rocky kembali ke Los Angeles selepas mahkamah Sweden membebaskannya sementara menunggu keputusan perbicaraan bagi pertuduhan melakukan serangan, media AS melaporkan pada Sabtu.
Penyanyi berusia 30 tahun, yang nama sebenarnya Rakim Mayers, tiba sekitar tengah malam Jumaat (0700 GMT Sabtu) dengan jet peribadi dari Stockholm, lapor ABC dan CBS.
“Penyanyi rap itu sangat gembira,” kata laman web berita selebriti TMZ yang melaporkan penyanyi rap itu tersenyum, bergambar dan memeluk penyokongnya ketika berada di tempat letak kereta di lapangan terbang selama kira-kira 45 minit.
Mayers ditahan di Sweden sejak 3 Julai apabila ditangkap berikutan pergaduhan di Stockholm pada 30 Jun, yang menyaksikan beliau dan dua krewnya terlibat dalam pertengkaran dengan seorang plaintif berusia 19 tahun.
Kes itu juga mendorong Presiden Donald Trump menyeru Mayers dibebaskan - meminta campur tangan daripada ahli politik Sweden.
Mayers dan dua yang lain berada dalam tahanan sebelum perbicaraan kerana mahkamah menganggapnya sebagai “berisiko untuk melarikan diri”.
Pada Jumaat, hakim daerah Stockholm Per Lennerbrant mengatakan Mayers boleh dibebaskan sementara menunggu keputusan itu, yang akan dibuat pada 14 Ogos.
Penahanannya mencetuskan kempen bagi pembebasannya oleh para peminat dan rakan seangkatan dengan petisyen dalam talian bernama #JusticeForRocky yang memperoleh lebih 640,000 tandatangan. Kempen media sosial juga menggesa peminat memboikot jenama Sweden seperti Ikea.
Penyanyi kelahiran New York itu tidak membuat pengumuman rasmi mengenai kepulangannya ke AS di akaun media sosialnya.
Terdahulu, beliau mengucapkan terima kasih kepada para peminat menerusi Instagram berhubung sokongan mereka selepas pembebasannya. – AFP, 4 Ogos, 2019.
Komen