Sedekad perginya Willy, sang jeneral sastera


Zainal Rashid Ahmad

Si mata elang dari Jogjakarta

Resahkah kamu?

Kurindu sorot matamu

Yang tajam belah malam

Di mana runcing kukuh paruhmu?

Tetapkah angkuhmu hadang keruh?

Masih sukakah kau mendengar

Dengus nafas saudara kita yang terkapar?

Masih sukakah kau melihat

Butir keringat kaum kecil yang terjerat?

Oleh slogan-slogan manis sang hati laknat

Oleh janji-janji muluk tanpa bukti

(Petikan lirik lagu Willy nyanyian Iwan Fals yang dirakamkan pada 1986).

Menurut Iwan Fals, lagu ini khusus buat sahabatnya, sasterawan Indonesia WS Rendra.

Pada tahun lagu ini ditulis, Orde Baru melancarkan banyak siri tangkapan dan ancaman kepada seniman Indonesia yang dianggap anti Suharto.

Dilahirkan dengan nama Willibrordus Surendra Broto Rendra. Willy ialah nama manja dalam kalangan teman rapat.

Penyanyi dan komposer Iwan Fals dan Rendra akrab kerana saling membenci Suharto. Sekaligus berjuang menyeru kebangkitan rakyat menjatuhkan rejim Orde Baru.

Pada 1990, Iwan Fals, Sawung Jabo, Jockie Surjoprajogo bergabung dengan Rendra dalam band Kantata Takwa. Album ini menjadi legenda apabila disenarai sebagai 100 album terpenting dalam sejarah muzik Indonesia.

Aspirasi album yang turut memuatkan sajak Paman Doblang karya Rendra, mengukuhkan lagi edaran suara gerakan anti Orde Baru.

Album Kantata Takwa beredar dengan tour persembahan bertemakan penentangan dan protes terhadap Suharto.

Rendra dan Iwan Fals sangat akrab. Kedua-dua pernah ditahan. Cuma Iwan Fals hanya dikurung di lokap berbanding Rendra yang pernah dipenjarakan tentera.

Perlawanan politik panjang

Pada 1 Disember 1977, dalam rapat umum mahasiswa di Salemba, Jakarta, Rendra membaca puisi “Pertemuan Mahasiswa”.

Puisi ini mencetuskan semangat menyeru mahasiswa bangkit menolak Suharto.

Selepas program itu Rendra ditangkap dan menjadi tahanan di Rutan Militer Jalan Guntur, Jakarta.

Malah setelah dibebaskan, keselamatannya selalu diancam. Petempatan Bengkel Teater Rendra diawasi dan sering digugah penguasa.

Sejak dipenjarakan pada 1977, WS Rendra tidak lagi pernah berpaling ke belakang. Suara puisi dan teaternya secara terbuka lantang menentang Suharto.

Kebangkitan Reformasi 1998 tidak mungkin dibahas tanpa melihat peranan Rendra.

Suara sastera dan aksi baca sajak yang penuh semangat selama 30 tahun itu, turut menyemai benih kebangkitan.

Perginya seniman rakyat pencetus reformasi

Tanggal 6 Ogos ini genaplah sedekad penyair rebel kelahiran Yogjakarta ini kembali ke rahmatullah.

Renda lahir pada 7 September 1935 dan meninggal dunia 6 Ogos 2009, pada usia 74 tahun.

Selama setengah abad berkarya sebagai seniman yang mengangkat tema kebebasan rakyat dan suara marhaen, Rendra meninggalkan rak karya dengan tanda aras: sastera ialah senjata perjuangan.

Ini terlihat jelas pada himpunan sajak, skenario drama, lakon pentas, kumpulan cerpen dan ratusan esei sasteranya.

Kemuncaknya ialah siri keberanian Rendra membaca sajak di pelbagai sesi perhimpunan awam dengan pengisian menyeru kebangkitan rakyat menentang Orde Baru.

‘Sajak Kenalan Lamamu’, antara suara yang selalu dilaungkan dalam deklamasinya.

Tanpa mengaburkan makna, Rendra mengkritik keras praktik politik Orde Baru yang dianggapnya kejam dan bengis.

Politik adalah cara merampok dunia.

Politik adalah cara menggulingkan kekuasaan,

untuk menikmati giliran berkuasa.

Politik adalah tangga naiknya tingkat kehidupan,

dari becak ke taksi, dari taksi ke sedan pribadi

lalu ke mobil sport, lalu: helikopter!

Politik adalah festival dan pekan olah raga.

Politik adalah wadah kegiatan kesenian.

Dan bila ada orang banyak bacot,

kita cap ia sok pahlawan.

Itu kelebihan Rendra. Suara sajak protesnya tidak hanya di kertas. Karya-karyanya mendarah pada nyali sastera dan mengalir ke jiwa rakyat Indonesia secara konsisten sejak 1967.

Tiga dekad berjuang tanpa rasa takut, akhirnya Rendra dapat melihat dengan kesaksian sendiri – tumbangnya rejim Orde Baru dan jatuhnya diktator Suharto pada 1998.

Selama tiga puluh tahun yang penuh dengan keberanian, Rendra meletakkan sastera sebagai senjata sasterawan.

Sekaligus menjadikan sajak-sajaknya seperti Paman Doblang, Bersatulah Pelacur-pelacur Kota Jakarta, Sangkar Rajawali, Sajak Orang Lapar dan Burung-burung Kondor dikenang sebagai senjata reformasi.

Suaranya ketika mendeklamasi sajak lebih menggegarkan semangat rakyat. Sekaligus menenggelamkan suara-suara retorik kaum pengampu Rejim Orde Baru.

O Allah !

Burung gagak menakutkan

dan kelaparan adalah burung gagak selalu menakutkan

Kelaparan adalah pemberontakan adalah penggerak gaib

Dari pisau-pisau pembunuhan

yang diayunkan oleh tangan-tangan orang miskin

Kelaparan adalah batu-batu karang di bawah wajah laut yang tidur adalah mata air

Penipuan adalah pengkhianatan kehormatan

(Petikan Sajak Orang Lapar)

Kristian ke Muslim, tetap tegar anti Suharto!

Rendra lahir dalam keluarga Kristian Katholik dan memeluk Islam pada 1970 ketika berusia 35 tahun.

Bapanya guru bahasa dan ibunya penari serimpi di Keraton Surakarta Hadiningrat.

Perjuangan Rendra menentang Orde Baru tersanjung dengan gelaran penyair ‘Burung Merak’.

Kepimpinan suara beraninya sebagai penyair dan deklamator menjadikan dirinya diiktiraf sebagai Sang Jeneral Sastera.

Sejak 1967, seniman tegar ini mendirikan Bengkel Teater di Yogyakarta –  tempat idea seninya yang radikal membiak dan turut melahirkan banyak seniman rebel seperti Sitok Srengenge, Radhar Panca Dahana dan Adi Kurdi.

Cuma, tekanan politik yang keras dan bengis menyebabkan bengkel seni terpaksa dibubar.

Keadaan jadi ribut, apabila Rendra ditangkap pada 1977 ketika sedang menyiapkan filem Sjumanjaya, Yang Muda Yang Bercinta.

Namun, Rendra tidak pernah mengalah. Setelah dibebaskan dari penjara militer, dia meninggalkan Yogyakarta dan menuju Jakarta.

Di sana, tanpa rasa takut, didirikan Bengkel Teater Depok, pada Oktober 1985. Gerakan anti Suharto diteruskan di bumi Jakarta –  kota politik Indonesia.

Di Jakarta, Rendra bertemu Iwan Fals, penyanyi rebel yang juga anti Orde Baru.

Keakraban ini melengkapkan kombinasi kumpulan petualang seni yang mahu menamatkan era kleptokrasi dan kuku besi.

Rendra dan Iwan Fals ketika itu sudah muncul dengan ratusan karya bermuatan kritik politik terhadap nepotisme, korupsi dan sikap diktator Suharto.

Akhirnya, ketika Orde Baru dan Suharto dijatuhkan pada 1998, Rendra sempat melihat Indonesia Baru muncul sekali pun agak ribut pada awal kewujudannya.

Sedekad selepas itu, setelah berbulan terbaring di hospital kerana masalah jantung, pada 6 Ogos 2008, jam 10.10 malam, Rendra menghembuskan nafas akhir di Rumah Sakit Mitra Keluarga Depok.

Tanda pengabdiannya, ketika masih hidup, Rendra minta dikebumikan di komplek pemakaman Bengkel Teater di Citayam, Depok. Tanda dia mahu abadi di tanah tempat jiwanya berjuang. – 4 Ogos, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen