Hubungan Malaysia-China kini lebih baik, kata duta khas


Khoo Gek San

Tahun ini ulang tahun ke-45 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Malaysia di bawah perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein memulakan hubungan itu pada 1974. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2019.

HUBUNGAN Malaysia dan China agak tegang ketika awal pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kata duta khas ke republik itu Tan Kok Wai, setahun selepas lantikan itu.

Tan berkata penggantungan dan semakan semula Putrajaya terhadap projek mega yang membabitkan China seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia, menekan hubungan dua hala itu.

Beliau berkata kritikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap projek yang dibiayai China tidak diterima baik oleh republik itu.

Mujurlah Beijing mengambil pendekatan tunggu dan lihat, katanya dalam satu temu bual bersama The Malaysian Insight.

Dr Mahathir juga sebelum ini pernah mengkritik projek dibiayai China seperti Forest City di Johor dan Taman Perindustrian Malaysia-China, kerana salah faham, kata Tan.

Selepas lawatan ke taman perindustrian itu di Kuantan, Dr Mahathir mendakwa banyak tanah dijual kepada China oleh kerajaan terdahulu Barisan Nasional.

Pada Ogos tahun lalu, Dr Mahathir berkata beliau mahu merobohkan “Tembok Besar China di Kuantan”, yang digelar sebagai “Tembok Besar Kuantan” di sepanjang sebahagian kawasan taman perindustrian itu.

Tan berkata kenyataan seperti itu menyebabkan kemarahan warga China.

“Ia tersebar di media sosial. China tidak suka dan mereka merungut tentang kita. Namun, kerajaan China bersikap sangat memahami terhadap kerajaan Malaysia.

“Pada mulanya kita perlu beri banyak penjelasan. Kita perlu berbincang pelbagai faktor dengan China. Bukan mudah meyakinkan mereka. Salah satu alasan kita beri ialah kita ada duta khas ke China menunjukkan kita meraikan China.”

Duta Khas Malaysia ke China Tan Kok Wai berkata tindakan Putrajaya menggantung dan semak semula projek mega membabitkan China menekan hubungan dua hala itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2019.

Tan berkata kehadiran Dr Mahathir pada sidang kemuncak inisiatif Jalur dan Laluan di Beijing pada April, membantu mengesahkan sokongan Malaysia kepada pembangunan infrastruktur China di seluruh dunia.

“China tahu Malaysia negara pertama yang membina hubungan diplomatik dengannya. Kedudukan geografi Asia Tenggara strategik, sama ada daripada segi infrastruktur, terminal, lapangan terbang, jalan, ekonomi. Undang-undang dan struktur cukai di sini juga kondusif.

Tahun ini ulang tahun ke-45 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, kata Tan.

Malaysia di bawah perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein menubuhkan hubungan diplomatik dengan China pada 1974.

Tan berkata sejak itu, kedua-dua negara menjalinkan hubungan yang sihat. Ramai warga China bekerja di Malaysia juga berasa selesa di sini kerana mereka biasa dengan makanan dan bahasa yang digunakan.

Katanya, pemimpin China juga banyak berbincang pelbagai perkara dengan Dr Mahathir.

Tan berkata Dr Mahathir mengadakan pertemuan dengan tiga pemimpin tertinggi China iaitu Presiden Xi Jinping, Perdana Menteri Li Keqiang dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat China Li Zhanshu, ketika mengadakan lawatan rasmi pertama ke China pada Ogos tahun lalu.

“Walaupun pegawai mengingatkan mereka yang masa sudah tamat, mereka tetap berunding dan berbincang,” katanya.

Ia menunjukkan isyarat yang baik kepada China berkenaan niat Malaysia apabila Dr Mahathir sekali lagi melawat China pada April tahun ini dan menghadiri sidang kemuncak Jalur dan Laluan.

Tan berkata beliau percaya sebarang tanggapan negatif yang Dr Mahathir fikirkan tentang China dan inisiatif Jalur dan Laluan, kini berubah.

“Ya. Persepsi Dr Mahathir sudah berubah. Sebelum ini beliau tidak faham Jalur dan Laluan. Dengan lawatan ke China baru-baru ini, Dr Mahathir kini faham tentang projek itu.”

Malah katanya, Dr Mahathir diberikan tempat duduk di sidang kemuncak itu untuk mewakili Asean, menunjukkan betapa Malaysia dihargai dan dihormati oleh China. – 4 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen