Penunjuk perasaan gemparkan Hong Kong lagi


Penunjuk perasaan berkumpul dan berarak di Tsim Sha Tsui, kawasan yang terkenal dengan pusat beli-belah mewah dan hotel di Hong Kong sepanjang hari ini. – Gambar EPA, 3 Ogos, 2019.

POLIS anti rusuhan Hong Kong melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan pro demokrasi di kawasan pelancongan popular, ketika keganasan menggemparkan sekali lagi hab kewangan antarabangsa itu walaupun China sebelum ini memberikan beberapa amaran keras.

Negara selatan China yang semi autonomi itu menyaksikan protes demi protes sejak dua bulan lalu dicetuskan oleh pembangkang yang membantah rang undang-undang ekstradisi yang dengan pantas berkembang menjadi gerakan reformasi demokratik.

Pihak berkuasa di Hong Kong dan Beijing minggu ini memberikan gambaran terhadap tindakan keras yang akan diambil termasuk menahan puluhan penunjuk perasaan, dan tentera China berkata ia bersiap sedia meredakan pergolakan itu jika diminta.

Tetapi penunjuk perasaan kekal bersemangat, berikrar untuk mengadakan banyak himpunan dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Keganasan hari ini – pertempuran hujung minggu yang berlaku kali kesembilan berturut-turut – tercetus di Tsim Sha Tsui, kawasan yang terkenal dengan pusat beli-belah mewah dan hotel.

Pihak berkuasa dengan memakai topeng gas dan perisai merempuh ratusan penunjuk perasaan yang mula mahu mengepung balai polis berhampiran.

Penunjuk perasaan yang memakai topeng memecahkan tingkap kereta di tempat letak kereta polis dan menconteng dinding dengan grafiti.

Polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan baton untuk menahan penunjuk perasaan.

Awal hari ini ribuan penunjuk perasaan berarak ke jalan raya berhampiran, melaungkan “jadilah air” – falsafah yang pernah dibawa oleh artis legenda Bruce Lee. – AFP, 3 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen