Isu tambak laut dirunding dengan tolak ansur, kata timbalan menteri


Zaim Ibrahim

Pendiriannya mengenai projek berkenaan tidak penting kerana pertemuan dengan nelayan di situ untuk bawa suara rakyat, kata Sim Tze Tzin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2019.

RUNDINGAN dengan kerajaan Pulau Pinang berhubung bantahan nelayan ke atas projek tambakan laut dibuat secara bertolak ansur, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani  Sim Tze Tzin.

Beliau yang mewakili nelayan terbabit dalam jawatankuasa khas PKR berkata, mereka akan mengusahakan penyelesaian jangka panjang.

“Kita boleh meminta langit. Tapi kita perlu jadi realistik. Setiap nelayan mungkin mahukan rumah, bot, dan biasiswa pendidikan.

“Tidak boleh seperti itu, perlu ada toleransi,” katanya dalam sidang media selepas bertemu kira-kira 80 orang nelayan di jeti Sungai Batu, Bayan Lepas hari ini.

Tambahnya, nelayan berkenaan perlu bersedia melalui beberapa sesi perbincangan dan perkara itu juga tidak sepatutnya selesai dengan pembayaran pampasan saja.

“Dalam keadaan ini ia tidak seharusnya menjadi zero sum game (sebelah pihak menang, sebelah pihak kalah).

“Tak boleh jika kerajaan buat dan nelayan menjadi mangsa. Nelayan pun kena sedia perbincangan yang berpanjangan. Kita tidak mahu terima duit (pampasan) dan selepas itu selesai,” katanya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani Sim Tze Tzin berkata nelayan perlu bersedia melalui beberapa sesi perbincangan sebelum membuat sebarang tuntutan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2019.

Dalam pertemuan itu, Sim antara lain menyebut beliau juga membantah projek tambakan laut berkenaan.

Apabila ditanya selepas itu, Sim bagaimanapun menjelaskan pendiriannya mengenai projek berkenaan tidak penting kerana kehadirannya di situ untuk membawa suara rakyat.

“Ini bukan mengenai saya secara peribadi. Ia mengenai dasar, ia mengenai kehidupan nelayan… Pandangan peribadi saya tidak penting,” katanya.

Laporan daripada perbincangan dengan nelayan itu akan dikemukakan kepada kerajaan negeri dalam masa kira-kira dua bulan, kata ahli Parlimen Bayan Baru itu.

“Beri saya masa dalam dua bulan. Saya kena (dapatkan) lebih banyak maklumat terperinci. Saya akan buat perjumpaan (dengan nelayan) lagi untuk formulasikan satu pelan,” katanya.

Tambahnya ia akan disuarakan kepada kerajaan negeri melalui jawatankuasa khas PKR diketuai pemangku pengerusi negeri, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Jawatankuasa itu juga dianggotai Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin, exco Dr Afif Bahardin, ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar serta beberapa pemimpin PKR lain.

Nelayan berkenaan membantah projek pembinaan tiga pulau buatan yang terlibat dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP).

Selain tiga pulau buatan berkeluasan 2,600 hektar, PIP juga melibatkan pembinaan terowong dasar laut menghubungkan pulau berkenaan dengan tanah besar.

Projek tambakan itu dibantah pelbagai pihak kerana akan menjejaskan komuniti nelayan selain risiko kemusnahan besar alam sekitar.

Khamis lalu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan kerajaan negeri merayu dana berjumlah RM10 bilion daripada kerajaan persekutuan bagi membiayai sebahagian projek.

Keseluruhan projek itu dianggarkan bernilai RM49 bilion. – 3 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen