HISHAMMUDDIN Hussein tidak mewakili Umno dalam pertemuan kalangan pemimpin pembangkang dengan perdana menteri baru-baru ini, kata presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, beliau mengetahui pertemuan disertai bekas naib presiden Umno itu bagi menyokong Dr Mahathir Mohamad agar berkhidmat sehingga akhir penggal.
“Saya tahu mengenai pertemuan itu tetapi mereka yang daripada orang Umno bukan mewakili Umno,” tegasnya ketika ditemui The Malaysian Insight di Sungai Besar hari ini.
Oleh itu, tindakan berkenaan membelakangkan parti dan melanggar keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno, kata pemimpin Umno kawasan itu, Jamal Md Yunos.
“MT memutuskan semua rundingan dengan pihak Pakatan Harapan mestilah melalui presiden Umno. Kita tidak mahu ada banyak kepala dalam parti,” katanya.
Majlis Tertinggi Umno pada Julai menetapkan hanya presiden Umno dibenarkan untuk mengadakan rundingan dengan parti lain bagi membentuk kerjasama politik.
Ia turut menetapkan syarat sebarang perbincangan atau perundingan tersebut perlu mematuhi syarat iaitu tiada kerjasama dengan DAP secara langsung atau tidak langsung.
Jamal turut mendakwa bekas menteri itu mengawal ahli Parlimen Umno dengan memberi bantuan kewangan secara bulanan untuk mendapatkan sokongan wakil rakyat terbabit.

Dakwanya, ia bagi membolehkan wakil rakyat itu mengikut Hishammuddin untuk turut menyokong Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal.
“Beliau menggunakan kekuatan kewangan yang ada, jaga ahli Parlimen Umno ini secara bulanan, kononnya ahli Parlimen ini boleh mengikut beliau menyokong untuk mengekalkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.”
Bagaimanapun, Jamal berkata Hishammuddin sepatutnya cuba memperoleh kuasa dengan cara itu.
“Saya ingin ingatkan Hishammuddin supaya tidak main ikut pintu belakang. Kalau hendak jadi presiden, bertandinglah dalam pemilihan akan datang, bukan main pintu belakang,” katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada parti perlu mengambil tindakan terhadap Hishammuddin, Jamal menyatakan tindakan seperti itu hanya akan menyebabkan parti berpecah.
“Dalam keadaan Umno yang lemah, jika hendak pecat akan menambah keretakan dalam Umno. Seharusnya dia kena ingat apa yang diperjuangkan sebelum ini demi agama, bangsa dan negara,” ujarnya.
Beliau juga mengesyaki Hishammuddin menyertai pertemuan itu untuk mengelak dikenakan tindakan undang-undang seperti dialami pemimpin Umno lain.
“Bagi saya mereka yang ingin ke hadapan ini adalah untuk menyelamatkan diri mereka sendiri supaya mereka tidak dituduh seperti yang dikenakan terhadap (bekas presiden Umno) Najib, Zahid dan (Bendahari Umno) Tengku Adnan Tengku Mansor,” katanya.
Turut hadir dalam pertemuan berkenaan Naib Presiden PAS Dr Samsuri Ahmad Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Ketua Whip GPS Fadillah Yusof.
Kumpulan itu didakwa menyatakan hasrat untuk menyokong Dr Mahathir terus menjadi perdana menteri dan tidak menyerahkan kuasa pentadbiran kepada Anwar Ibrahim. – 3 Ogos, 2019.
Komen