PERJANJIAN perdagangan Korea Selatan dengan lima negara di Amerika tengah, dijangka berkuat kuasa pada Oktober selepas badan perundangan negara itu mengesahkan perjanjian berkenaan pada Jumaat.
Agensi berita Yonhap melaporkan Dewan Negara meluluskan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Costa Rica, El Salvador, Honduras, Nicaragua dan Panama, membolehkan kerajaan secara rasmi melaksanakan perjanjian itu.
Perbincangan dengan lima negara bermula pada Jun 2015 untuk mengurangkan duti lebih 95 peratus barangan dan membuka pasaran perkhidmatan serta pelaburan. FTA dimeterai pada Februari 2018.
Pihak kerajaan berkata Costa Rica, El Salvador dan Nicaragua menyelesaikan proses perundangan masing-masing.
Seoul berkata ia merancang untuk meminta Honduras dan Panama mempercepatkan prosedur domestik supaya FTA dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Perjanjian perdagangan Korea Selatan dengan lima negara Amerika Tengah adalah FTA ke-16, negara ekonomi Asia keempat terbesar telah menandatanganinya setakat ini. Seoul negara Asia pertama mencapai kesepakatan dengan lima negara berkenaan.
Korea Selatan melaksanakan FTA dengan negara di Amerika selatan iaitu Chile, Peru dan Colombia serta Amerika Syarikat dan Kanada negara di Amerika utara. – Bernama, 3 Ogos, 2019.
Komen