RIBUAN penduduk di bandar Whaley Bridge di United Kingdom (UK) terpaksa dipindahkan pada Jumaat selepas sebuah empangan runtuh, lapor agensi berita Anadolu.
Kira-kira 1,500 penduduk di utara bandar Whaley Bridge dipindahkan selepas polis mengeluarkan amaran bahaya kemungkinan akan ada lagi pusat takungan air yang akan roboh.
“Paras air di Sungai Goyt boleh meningkat secara mendadak disebabkan hujan lebat dan air yang melimpah dari pusat takungan Toddbrook dan operasi pemindahan sedang dijalankan,” menurut kenyataan pihak berkuasa.
Bagi membantu pihak berkuasa tempatan, Angkatan Udara Diraja menghantar sebuah helikopter Chinook ke kawasan terjejas.
UK dan sebahagian besar Eropah barat pada minggu lalu mengalami gelombang panas dengan suhu mencecah rekod 39 darjah Celcius.
Berikutan gelombang panas itu, banyak bahagian di UK terjejas oleh hujan lebat, ribut petir serta kilat. – Bernama, 3 Ogos, 2019.
Komen