INDIA pada hari Sabtu mengusir bekas naib presiden Maldives Ahmed Adeeb, yang menghadapi pertuduhan percubaan membunuh dan rasuah, selepas cuba memasuki negara itu dalam sebuah bot tunda, kata sumber rasmi.
Adeeb tiba di pelabuhan selatan Tuticorin pada hari Khamis dalam bot dan ditahan kerana cuba masuk ke negara itu tanpa pasport.
Seorang pegawai polis di bandar pelabuhan Tamil Nadu memberitahu pemberita bahawa Adeeb dan anak kapal telah diserahkan kepada pihak keselamatan Maldives di sempadan maritim Lautan Hindi.
“Mereka diserahkan kepada pihak berkuasa pada awal Sabtu,” kata pegawai itu tanpa mendedahkan namanya.
Adeeb dibebaskan dari penjara Maldives pada Mei lalu selepas mahkamah membatalkan sabitan cubaan membunuh Presiden Abdulla Yameen pada tahun 2015.
Bagaimanapun, dia kini menghadapi satu pertuduhan baharu mengenai kes itu dan sedang disiasat bagi pertuduhan rasuah ketika dia menjadi timbalan kepada Yameen, yang kalah dalam pilihan raya tahun lalu.
Kerajaan Maldives kemudian merampas pasportnya semasa siasatan.
Polis Maldives berkata Adeeb sepatutnya bertemu penyiasat bagi kes penyelewengan dana kerajaan pada hari Rabu tetapi gagal hadir. – AFP, 3 Ogos, 2019.
Komen