PBB kesal perjanjian nuklear AS-Rusia berakhir


Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyuarakan rasa kesal berikutan berakhirnya Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia. – Gambar EPA, 3 Ogos, 2019.

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Jumaat menyuarakan rasa kesal berikutan berakhirnya Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) antara Amerika Syarikat (AS) dan Rusia.

Jurucakapnya Stephane Dujarric menerusi satu kenyataan menyatakan, Guterres sentiasa menggesa kedua-dua belah pihak menyelesaikan perselisihan mereka melalui mekanisma rundingan sejajar dengan apa yang termaktub dalam perjanjian itu serta kesal mereka gagal mematuhinya.

Menurut kenyataan itu, beliau sedia maklum bahawa dalam persekitaran keselamatan antarabangsa yang ketika ini semakin buruk, perjanjian kawalan dan perlucutan senjata nuklear berkenaan semakin terancam.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Setiausaha Agung itu menekankan keperluan mengelak sebarang perkembangan yang bakal memburukkan lagi keadaan serta menggesa mencari kata sepakat baharu ke arah kawalan senjata antarabangsa.

Beliau menggesa Rusia dan AS memperluaskan New START, satu perjanjian bertujuan mengehadkan jumlah peledak dan pelancar peluru berpandu nuklear jarak sederhana dan memperluaskan rundingan mengenai langkah kawalan senjata yang lebih menyeluruh.

Awal Julai lalu Presiden Rusia Vladimir Putin menandatangani satu peraturan untuk menggantung penyertaan negara dalam Perjanjian INF.

Keputusan itu dibuat sebagai reaksi balas kepada tindakan AS menarik diri daripada perjanjian kawalan senjata utama, yang dimeterai Kesatuan Soviet dan AS pada 1987.

Pengunduran AS berkuatkuasa Jumaat, enam bulan selepas Washington mengumumkan hasratnya untuk menangguhkan kewajiban ke atas perjanjian itu. 

Perjanjian berkenaan melarang sebarang pelancaran peluru berpandu jarak sederhana, dengan jarak antara 500 hingga 5,500 kilometer.

Moscow dan Washington saling menyalahkan antara satu sama lain berhubung pihak yang melanggar perjanjian itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak. – Bernama, 3 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen