SEBUAH parti politik baharu yang disokong oleh adik perdana menteri Singapura dilancarkan hari ini, memberikan cabaran segar kepada kerajaan ketika wujud khabar angin pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi.
Parti Progres Singapura (PSP)- mahu bertanding pilihan raya sepatutnya berlaku pada 2021 walaupun ada ura-ura ia akan diadakan lebih awal- diterajui oleh Tan Cheng Bock, seorang doktor perubatan dan bekas pegawai kerajaan yang pernah bertanding merebut jawatan presiden dan hampir mengalahkan calon parti kerajaan.
Parti itu juga menerima sokongan adik Perdana Menteri Lee Hsien Loong, petunjuk terbaru konflik keluarga ternama negara itu berkaitan legasi ayah mereka.
Konflik keluarga elit Singapura itu terbongkar pada 2015 selepas kematian ayah mereka, Lee Kuan Yew yang mentadbir negara itu lebih tiga dekad dan dihormati rakyat republik itu.
Semasa pentadbirannya menerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP), Singapura berubah daripada negara miskin Asia kepada salah sebuah kuasa besar ekonomi dunia walaupun pihak berkuasa dikecam hebat kerana mengekang kebebasan sivil dan hak bersuara.
Sumber parti mengesahkan yang PSP dilancarkan awal pagi ini. Beliau dijangka bercakap dengan media tidak lama nanti.
Pelbagai kumpulan berganding bahu untuk menentang dominasi PAP, tetapi pembangkang- yang hanya enam orang berbanding 89 wakil rakyat dalam Parlimen- tidak dianggap ancaman besar.
Bagaimanapun, sokongan daripada adik perdana menteri, Lee Hsien Yang, boleh melonjakkan sokongan kepada Tan, 79, yang mengecam pentadbiran PAP yang disifatkannya sebagai menurunkan standard tadbir urus Singapura.
Tan berkata beliau mungkin menerima Hsien Yang sebagai ahli parti secara rasmi.
Konflik keluarga Lee berpunca daripada dakwaan adik beradik perdana menteri bahawa beliau cuba menghalang usaha meruntungkan banglow keluarga untuk memanipulasi legasi ayahnya, tuduhan yang sudah dinafikannya. – AFP, 3 Ogos, 2019.
Komen