Lapangan terbang San Francisco larang jual botol plastik


San Francisco Chronicle melaporkan peraturan itu merupakan sebahagian daripada pelan lima tahun bagi mengurangkan sisa tapak pelupusan, pelepasan karbon dan penggunaan tenaga bersih kepada sifar. – Gambar EPA, 3 Ogos, 2019.

LAPANGAN Terbang Antarabangsa San Francisco mengharamkan penjualan botol plastik menyarankan para pembeli untuk membeli botol yang boleh digunakan semula jika mereka tidak memilikinya, lapor media.

Peraturan baharu itu berkuat kuasa pada 20 Ogos depan.

San Francisco Chronicle melaporkan peraturan itu merupakan sebahagian daripada pelan lima tahun bagi mengurangkan sisa tapak pelupusan, pelepasan karbon dan penggunaan tenaga bersih kepada sifar.

“Kami adalah lapangan terbang pertama yang diketahui melaksanakan perubahan ini,” kata jurucakap lapangan terbang, Doug Yakel kepada pemberita.

“Kami berada di tahap paling utama dalam industri ini, dan kami mahu menerajui inisiatif alam sekitar,” katanya.

Larangan itu akan dikenakan ke atas semua restoran, kafe dan mesin jualan, walaupun ke atas mereka yang tidak menggunakan khidmat pesawat terbang.

Bagaimanapun, larangan itu mengecualikan jenama air berperisa.

Air suling disediakan secara percuma di 100 “stesen penghidratan,” di mana para pengguna kapal terbang boleh memasukkan air ke dalam botol kaca atau logam.

Lapangan terbang itu menerangkan dirinya sebagai “peneraju industri” dalam isu alam sekitar dengan memulakan inisiatif memasang panel solar dan mengarahkan semua penyewa ruang menggunakan barangan makanan komposit sepenuhnya termasuk peralatan minuman dan perkakas makanan.

Lapangan terbang di Dubai dan India telah mengumumkan larangan botol plastik, tetapi masih belum melaksanakan sepenuhnya.

Bandar San Francisco melarang penjualan botol air plastik di lokasi milik bandar pada 2014, tetapi membenarkan penangguhan dan memberikan pengecualian tertentu.

Pengeluaran plastik global telah berkembang dengan pesat, dan pada masa ini lebih daripada 400 juta tan dikeluarkan saban tahun.

Barang penggunaan tunggal mewakili kira-kira 70 peratus sisa plastik yang dibuang ke kawasan laut.

Setiap tahun, jutaan burung dan lebih daripada 100,000 mamalia laut di seluruh dunia cedera atau dibunuh kerana terperangkap dalam plastik atau menelannya.

Kanada dan Kesatuan Eropah telah bersetuju untuk mengharamkan plastik guna tunggal bermula tahun 2021. – AFP, 3 Ogos, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen