Kumpulan aktivis alam sekitar desak kerajaan Pulau Pinang hentikan projek tambakan


Looi Sue-Chern

Projek penambakan di Pulau Pinang didakwa menjadi punca penurunan jumlah tangkapan ikan oleh nelayan tempatan sekaligus menjejaskan mata pencarian mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Oktober, 2017.

KUMPULAN aktivis alam sekitar Sahabat Alam Malaysia (SAM) sekali lagi menggesa kerajaan Pulau Pinang untuk membatalkan rancangan penambakan di negeri itu.

Presidennya S.M. Mohamed Idris berkata kerajaan negeri perlu mengambil kira kesan projek penambakan yang dirancang di negeri itu.

Beliau berkata, mendapan daripada projek penambakan itu akan mencemar air di kawasan pesisir pantai dan merosakkan jaring ikan dan mengancam sumber pencarian nelayan.

Katanya beberapa kawasan sudah berdepan masalah berikutan projek tambakan termasuk di Tanjung Tokong, Sungai Gelugor, Batu Uban, Persiaran Gurney dan Queensbay di Bayan Baru. 

Idris turut meminta kerajaan negeri agar tidak meneruskan projek Penambakan Pulau Pinang Selatan (PSR), yang mewujudkan tiga pulau buatan manusia berkeluasan 4,500 ekar di perairan selatan pulau itu.

“SAM menggesa kerajaan Pulau Pinang untuk membatalkan segera keputusan melaksanakan projek penambakan di negeri ini. 

“Sekiranya PSR diberi lampu hijau, ia memberi ancaman lebih buruk kepada persekitaran marin, kawasan pesisir pantai dan menjejaskan sumber pencarian nelayan,” katanya hari ini. 

Idris berkata Laporan Impak Alam Sekitar 2015 terhadap projek PSR, yang bertujuan untuk membiayai Pelan Induk Pelan Pengangkutan Pulau Pinang menyatakan 2,757 nelayan berlesen beroperasi di dalam zon impak projek terbabit.

Nilai borong ikan yang didaratkan di kawasan terbabit dianggarkan bernilai RM42.09 juta, menjadikan 12.4 % jumlah keseluruhan nilai borong pendaratan ikan di negeri itu.

Katanya, nelayan membuat aduan kepada SAM berhubung pengurangan hasil tangkapan dan pendapatan berikutan pelaksanaan projek tambakan di Pulau Pinang. 

“Pencemaran air dan pengurangan zon tangkapan ikan berikutan penambakan itu menyebabkan penurunan hasil tangkapan nelayan. Nelayan mengadu pendapatan mereka berkurangan sebanyak 70% pada masa ini. 

“SAM memandang serius ancaman berterusan terhadap sumber pendapatan lebih 4,000 nelayan di negeri ini kerana cadangan dan pelaksanaan projek penambakan,” katanya. 

Idris berkata, bantahan sudah dibuat oleh nelayan dan NGO termasuk SAM, namun hingga kini tiada jaminan diberikan oleh kerajaan negeri projek seperti itu tidak akan mengancam sumber pencarian nelayan dan alam sekitar. 

Bagi seorang nelayan Mohd Maidin Abdu Hamid, 62, berkata pendapatannya kebiasaan adalah RM1,600 sebulan namun ia semakin berkurangan kepada RM600 sekarang kerana perubahan persekitaran marin. 

“Untuk dapat RM600 pun sangat sukar. Saya biasa menangkap ikan di barat daya perairan pulau ini yang mana terdapat banyak bawal putih dan senangin,” katanya ketika ditemui pemberita berhampiran tapak projek berkenaan di Pantai Jerejak. 

Maidin turut menjelaskan antara kesan projek tambakan itu. Katanya bot miliknya pernah terlanggar boya di tapak projek berkenaan pada Julai. 

“Ia berlaku kira-kira jam 1.30 pagi. Boya berkenaan tidak dipasang lampu. Mengapa mereka tidak memasang lampu isyarat agar kami nampak pada waktu malam? Mana langkah keselamatan yang diambil mereka?” katanya. 

Maidin bagaimanapun bersyukur tidak tercedera namun dia terpaksa memotong jaring ikannya yang tersangkut pada boya berkenaan menyebabkan dia mengalami kerugian. 

Katanya, dia sudah mengajukan perkara itu kepada Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohd Rashid Hasnon dan ahli dewan undangan negeri dan exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perikanan Dr Afif Bahardin. – 5 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen