Inovasi seorang Mat Sentol 


Daniyal Kadir

JIKA disebut tentang filem komedi, nama siapa yang akan terlintas di fikiran anda?

Saya fikir senarainya sudah tentu panjang. Namun dalam senarai yang berjela-jela itu, sudah tentu nama yang menduduki tempat tertinggi ialah Mat Sentol.

Beliau raja filem komedi untuk sinema Melayu. Gaya pembikinannya inovatif dan melangkaui kepintaran komedi yang lain pada ketika itu.

Mat Sentol mempunyai tanda khas dalam setiap filemnya. Kebiasaannya penggunaan kesan khas unik dan babak-babak tidak masuk akal menjadikannya sebagai pembikin filem komedi luar biasa yang pernah ada untuk kita.

Namun karya beliau jarang melalui proses penghayatan dan dihargai seperti seniman P Ramlee. Ada yang memandang filem-filem beliau sebagai komedi merepek, namun merepek itulah yang menjadi keunikan penting buat Mat Sentol.

Kita lihat pada filem Mat Tiga Suku misalnya, terdapat babak watak lakonan Mat Sentol cuba menahan sebuah bas di kawasan perhentian. Namun setiap kali menahan, bas tidak berhenti walaupun sudah beberapa kali. Disebabkan terlalu geram, watak tadi mencabut papan tanda perhentian bas dan membawanya lari ketika bas menghampiri.

Apa yang menarik, bas berkenaan mengejar watak itu kerana mengikut papan tanda yang dibawa lari. Ia memberikan kita satu komedi bijak dan di luar jangkaan. Apabila menonton babak ini pasti kita akan teringat kartun klasik seperti Tom and Jerry yang sarat dengan elemen kejar-mengejar.

Malah lebih menarik dalam satu ulasan filem Mat Tiga Suku di akhbar Berita Harian pada tahun 1965, babak ini ditafsirkan sebagai satu gambaran pemberontakan maruah manusia yang telah sekian lama menjadi hamba jentera dan mesin.

Mat Sentol dalam Mat Tiga Suku mengubah dan membentulkan keadaan dengan menggambarkan bahawa manusialah yang sewajarnya menguasai jentera dan mesin, bukan sebaliknya.

Mat Raja Kapor yang diarahkannya secara bersama-sama dengan M Amin pula melihatkan sisi kritikal dan nakal Mat Sentol apabila mencuit sisi feudalisme.

Berbeza dengan apa yang selalu dilakukan P Ramlee dalam filem Mat Raja Kapor di babak pembukaan melihatkan bagaimana pemerintah sedang meronda-ronda di sekeliling negeri dan ternampak seorang penjual kacang. Pemerintah itu memanggil untuk membeli kacang, sebaliknya ia hanya mengambil kacang itu dan memakan tanpa membayar, malah meminta supaya bil dihantar ke kediamannya.

Seterusnya, pemerintah itu yang menaiki tandu terserempak dengan seorang lelaki yang membawa kereta mewah. Kereta itu dengan laju memotong tandu yang membawa pemerintah ini. Maka dia meminta supaya orang-orangnya mengejar kereta tadi dan apabila dapat kereta lelaki itu dimusnahkan.

Masih dalam babak sama, terdapat dua gadis berpakaian seksi, namun apabila ternampak sahaja pemerintah ini lalu, dua gadis ini segera menukar pakaian sopan.

Babak pembukaan ini amat jelas menyampaikan kritikan pedas kepada golongan feudal. Bagaimana dilihatkan bahawa rakyat sentiasa tidak dibenarkan memiliki apa-apa kelebihan berbanding golongan pemerintah. Tajam dan menikam sekali kritikan Mat Sentol melalui komedinya.

Inovatif. Itulah perkataan terbaik untuk menggambarkan visual dalam filem-filem Mat Sentol. Kita sentiasa akan diberikan kesegaran dan hal-hal yang tak pernah dibikin orang. Misalnya tandas yang menjadi tempat persembunyian kemudian boleh terbang dan bertindak seperti kapal terbang dalam Mat Bond.

Siapa boleh lupa dengan kebijaksanaan Mat Sentol dalam Mat Magic. Filem ini seolah-olah menjadi tempat Mat Sentol melontarkan segala macam idea gilanya untuk tontonan kita semua. Babak selingan iklan dalam Mat Magic juga begitu mencuit jiwa.

Satu hal yang sukar untuk kita pisahkan dalam filem-filem Mat Sentol ialah penampilan gadis-gadis seksi. Sebenarnya babak-babak ini pernah menjadi sasaran kritikan. Namun Mat Sentol mempunyai jawapannya yang tersendiri terhadap hal ini.

Dalam satu temubual di akhbar Berita Harian pada 24 Julai 1970, Mat Sentol menyatakan: “Banyak perkara lain untuk membangun masyarakat Melayu yang boleh ditimbulkan dari mengecam perkara titik bengik yang dibuat khusus untuk publisiti.”

Beliau juga menyebutkan: “Kita perlu membuat kajian yang menyeluruh buruk baiknya bahawa kelakuan manusia bukanlah disebabkan kerana menonton filem, sebaliknya adalah pengajaran yang mereka terima.”

Mat Sentol menjawab sedemikian sebagai respons kepada pandangan yang dikemukakan oleh imam Masjid Negara pada ketika itu yang mengatakan adegan berahi dalam filem Melayu akan membawa kehancuran kepada masyarakat Melayu sendiri.

Begitulah Mat Sentol, jujur dan tegas dalam mempertahankan karyanya.

Rupa filem Mat Sentol adalah masyarakat moden Melayu sekitar tahun 1960an dan 1970an. Ia dipaparkan dengan jelas dalam semua filem-filemnya. Malah Mat Sentol juga lebih gemar menggunakan lagu-lagu rancak dengan sentuhan pop yeh yeh. Menjadikan beliau sebagai antara pembikin filem penting yang mempelopori muzik dalam aliran berkenaan di dalam filem.

Kebiasannya pada ketika itu, kita sering dihidangkan dengan filem-filem purba dan lagu-lagu berentak Melayu yang tebal. Namun Mat Sentol lebih enjoy, lebih santai. Ia memberikan suntikan muda dalam filem-filemnya. Malah pembawakan budaya pop juga amat menarik apabila ia lebih bergaya dari filem-filem Melayu yang lain pada ketika itu.

Mat Sentol memiliki sentuhan teknik yang baik di dalam filem. Pengalaman besar beliau khasnya dalam aspek kesenian semasa di studio filem amat membantu untuk beliau menghasilkan filem-filem luar biasa. Hubungan baik beliau dengan pembikin filem seperti Hussain Haniff dan M Amin juga amat membantu beliau memberikan kelainan kepada mata penonton.

Jika Perancis memiliki George Melies, kita pula memiliki Mat Sentol. Tidak keterlaluan jika beliau diangkat sebagai tokoh hebat dalam teknik pembikinan filem. 

Beliau bapa kesan khas visual kita. – 3 Ogos, 2019.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen