SEORANG orang terbunuh dan tiga lagi dilaporkan cedera pada hari Jumaat apabila kawasan tinggi pantai runtuh di pantai California, kata pihak berkuasa.
Kejadian yang meragut nyawa itu berlaku berhampiran sebuah tangga menuju Grandview Surf Beach, San Diego.
Sekurang-kurangnya dua orang lagi terperangkap dan diselamatkan dari runtuhan itu, kata Leftenan Ted Greenawald daripada Jabatan Sheriff County San Diego.
Tiada butiran lanjut mengenai mangsa yang meninggal dunia, katanya.
Ketua anggota penyelamat, Larry Giles memberitahu pemberita bahawa tiga orang yang cedera telah dibawa ke hospital, termasuk seorang yang cedera parah.
Giles berkata penyelamat menggunakan khidmat anjing khas untuk mencari mangsa-mangsa lain.
Pantai Encinitas itu terletak di kawasan tebing batu pasir yang dikatakan terhakis sejak beberapa tahun sebelum ini.
Pada tahun 2000, tanah runtuh di kawasan itu membunuh seorang wanita yang yang sedang menyaksikan suaminya bermain papan luncur pantai.
Pihak berkuasa bandar Encinitas telah meletakkan tanda-tanda amaran di beberapa lokasi di kawasan itu.
“Kerana tanah runtuh di kawasan tinggi tebing sering berlaku, banyak tanda amaran diletakkan bagi memastikan keselamatan pengunjung pantai.
“Sila berhati-hati di kawasan tinggi berhampiran sementara pendakian di kawasan puncak tebing tinggi adalah dilarang.
“Pelawat juga diminta untuk mengelakkan berdiri atau duduk secara langsung di bawah tebing yang tidak stabil, kerana ia berisiko runtuh,” kata sebuah laman web rasmi majlis bandaran Encinitas. – AFP, 3 Ogos, 2019.
Komen