PROSES kelulusan peraturan mengambil masa kira-kira sembilan bulan hingga setahun selepas penggabungan dengan syarikat Axiata Group Bhd disempurnakan, kata Telenor Asia.
Penggabungan antara syarikat komunikasi gergasi tempatan, Axiata, dengan Telenor Asia kini sedang dimulakan.
“Seperti yang telah kami bincang sebelum ini, kami sasar untuk selesaikan mengikut perjanjian pada suku ketiga tahun 2019. Proses kelulusan peraturan mengikut perjanjian itu dianggarkan selesai dalam tempoh 9-12 bulan,” kata Pengarah Komunikasi Telenor Asia, Cathrine Stang Lund kepada The Malaysian Insight dalam satu jawapan e-mel.
Axiata dan Telenor berharap dapat memuktamadkan perjanjian pada suku ketiga tahun ini.
Penggabungan antara kedua-dua gergasi telco itu dianggarkan bernilai AS$5 bilion (RM20.65 bilion).
Sebuah syarikat gabungan akan dibentuk selepas penggabungan antara Axiata dan Telenor yang berpangkalan di Norway.
Telenor Asia juga disebut akan memegang saham 56.5% sementara Axiata memegang saham selebihnya dalam syarikat gabungan itu nanti.
Pembahagian saham dalam syarikat gabungan itu dibahagikan berdasarkan penilaian aset.
Penggabungan syarikat induk Celcom dan Digi itu juga dikatakan akan melahirkan syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia.
Walau bagaimanapun, Stang Lund tidak menjawab soalan sama ada Digi akan mengekalkan statusnya di Bursa Malaysia, selepas syarikat gabungan itu ditubuhkan.
Kedua-dua Axiata dan Digi disenaraikan di bursa saham tempatan.
Penggabungan raksasa itu juga akan menyatukan perniagaan serantau Axiata dan Telenor Asia, kecuali di Bangladesh, di mana kedua-dua syarikat mempunyai pengaruh di sana.
Berikutan penyatuan itu, kedua-dua syarikat itu akan mempunyai akses kepada 300 juta pelanggan di sembilan negara. Axiata kini mempunyai pengaruh dalam enam daripada sembilan pasaran manakala Telenor mempunyai tiga.
Axiata adalah sebahagian daripada syarikat-syarikat yang stabil kelolaan Khazanah Nasional Bhd. Syarikat itu memegang sebanyak 37.16% kepentingan dalam Axiata. – 3 Ogos, 2019.
Komen