PELAKU insiden tembakan rambang di Amerika Syarikat bertindak membunuh diri, kata pejabat koroner pada Jumaat, bercanggah dengan kenyataan polis yang mendakwa pegawainya menembak mati remaja terbabit.
Santino William Legan, 19, bersenjatakan senapang AK-47 bertindak melepaskan tembakan secara rambang di sebuah festival muzik di bandar Gilroy, California, Ahad lalu mengorbankan dua kanak-kanak dan lelaki berusia 25 tahun. 12 orang lagi turut dilaporkan cedera dalam serangan itu.
Menurut polis, tindakan Legan itu berjaya dihentikan selepas tiga pegawainya bertindak balas dan menembak remaja terbabit.
Namun pada Jumaat, pasukan perubatan Santa Clara County berkata, Legan meninggal dunia akibat tembakan yang dilepaskan sendiri, lapor media negara itu.
Motif serangan berkenaan masih disiasat.
Insiden tembakan rambang sering berlaku di AS, dan usaha untuk mengatasi masalah keganasan itu masih diteruskan di peringkat persekutuan.
Menurut Arkib Keganasan Senjata Api, yang merupakan sebuah badan bukan berasaskan keuntungan, terdapat 247 kes insiden tembakan rambang direkodkan setakat ini di negara berkenaan. – AFP, 3 Ogos, 2019.
Komen