SEORANG doktor Malaysia yang tertangkap memalsukan tuntutan elaun kerja lebih masa dan rekod pesakit di sebuah hospital di Perth, Australia sebenarnya adalah penerima Anugerah Tokoh Perubatan sempena sambutan Maal Hijrah di Pulau Pinang.
Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) yang memberikan anugerah itu bagaimanapun memaklumkan The Malaysian Insight ia tidak tahu-menahu rekod doktor itu yang kini ditolak daripada berkhidmat di Australia.
Presiden Pemenang, Mohd Yusoff Latif berkata, pihaknya tidak akan menarik balik anugerah tersebut daripada doktor berkenaan memandangkan tiada tindakan tatatertib yang diambil oleh pihak kerajaan Malaysia.
Doktor itu kini dilaporkan berkhidmat di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan.
“Kalau kita tahu sebelum beri anugerah, (kalau tahu) mungkin kita pertimbangkan.
“Kalau kerajaan tak ambil tindakan buat apa nak tarik (anugerah). (Lagipun) dia masih bekerja di bawah kerajaan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Akhbar The Sunday Times yang terbit di Western Australia melaporkan seorang doktor dari Malaysia dibatalkan kelayakan untuk mengamalkan perubatan di Australia oleh tribunal pihak berkuasa negeri Western Australia minggu lalu.
Lembaga Perubatan Australia dipetik berkata keputusan itu dibuat “untuk melindungi orang ramai” dan menunjukkan betapa ia memandang serius salah laku yang dibuat.
Keputusan itu dibuat selepas doktor berkenaan didapati bersalah meminda rekod pesakit untuk memalsukan tuntutan elaun semasa menjalani program sangkutan felo antara 2015 hingga 2016.
Dia dituduh memalsukan rekod pesakit sebanyak empat kali dan memalsukan tuntutan elaun lebih masa sebanyak 12 kali. Dia juga membuat tuntutan palsu dipanggil bekerja pada hari cuti sebanyak 61 kali. Secara keseluruhannya, dia membuat tuntutan yang tidak sepatutnya dibuat berjumlah Aus$7,093 atau lebih kurang RM23,000.
Laporan menyebut doktor itu sudah membayar balik semua tuntutan palsu itu dan memohon maaf atas salah lakunya. Dia juga membayar kos prosiding sebanyak Aus$11,500 (RM38,000). – 5 Oktober, 2017.
Komen