Kajian dedah rakyat mahu menteri cetek pengalaman baiki diri


Chan Kok Leong

Kabinet Pakatan Harapan dibarisi ramai menteri cetek pengalaman sehingga meresahkan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2019.

RAKYAT Malaysia mencadangkan beberapa perkara yang perlu ditangani kerajaan Pakatan Harapan, ini termasuklah menambah baik prestasi kerja menteri kurang berpengalaman.

Dalam kajian kualitatif dibuat Institut Darul Ehsan (IDE)- sebuah badan pemikir PKR- responden berkata walaupun kerajaan baharu mempunyai banyak ciri positif tetapi kelemahan paling nyata adalah barisan menteri Kabinet yang kurang berpengalaman mentadbir negara.

Respoden kajian merasakan kenyataan dikeluarkan menteri seringkali bercanggah dan mereka juga tidak cukup tegas dalam arahan dan tindakan.

Terdapat juga banyak perubahan tidak perlu serta perseteruan dalaman parti komponen PH.

Pentadbiran PH juga dianggap mempunyai “pemahaman yang terlalu liberal”.

Hasil kajian ini dibentangkan di permukiman PKR di Port Dickson baru-baru ini.

Ini adalah sebahagian hasil dapatan daripada bahagian “cadangan untuk pentadbiran dan politik” yang terdapat dalam kajian IDEA bertajuk “Kajian Malaysia: Mood Sebuah Negara” yang dilakukan antara 28 hingga 30 Jun lepas.

Kajian melibatkan 1,597 responden daripada 222 bahagian Parlimen dan dilakukan menerusi kaedah temubual bersemuka oleh 50 orang pemudah cara.

Pandangan menteri cetek pengalaman dan perseteruan dalaman dibangkitkan ketika PKR sekali lagi bergolak apabila hubungan Presiden Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Azmin Ali tegang kerana skandal video seks.

Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi, sudah menafikan terlibat dalam skandal itu, menyifatkannya sebagai cubaan merosakkan kerjaya politiknya.

Pengalaman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dianggap penyelamat Kabinet Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2019.

Tetap baik berbanding BN

Walaupun ada data negatif, responden berkata pentadbiran PH lebih baik berbanding Barisan Nasional dan bersedia memberikan lebih banyak masa untuk mereka berubah.

Mereka juga menyifatkan pengalaman Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sangat membantu dalam usaha pembinaan semula negara.

Antara kebaikan lain disebut responden adalah harga sebilangan barangan sudah distabilkan oleh kerajaan PH dan media lebih bebas.

Bagaimanapun, responden juga berkata PH perlu melaksanakan pembaharuan ke atas semua kementerian dan mengadakan lebih banyak program dan dialog awam untuk menyebarkan dasar pentadbiran kepada rakyat.

Mereka juga mencadangkan supaya pegawai kerajaan yang tidak memberikan kerjasama untuk memulihkan negara dipindahkan.

Selain itu, responden mahu kerajaan mengurangkan karenah birokrasi dan kronisme, melatih lebih ramai pemimpin muda dan meningkatkan perpaduan kaum.

Berkaitan isu ekonomi pula, responden mahu kerajaan baharu memperbaiki sistem penguatkuasaan barangan terkawal, memotong perbelanjaan kerajaan untuk perkara tidak perlu dan memperkenalkan lebih banyak skim bantuan kepada kumpulan B40 dan M40.

Responden yang mewakili rakyat Malaysia juga menggesa PH menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda, meningkatkan bantuan di kawasan luar bandar dan mengurangkan jumlah pekerja asing.

Kajian juga mendapati responden mahukan hak Melayu dan Bumiputera lebih terbela dan terjaga. – 3 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen