GEGARAN gempa berpusat di daerah Banten Kepulauan Jawa dirasai sehingga ke Jakarta-120km jauhnya- lapor Bernama.
Kumpulan wartawan Bernama sedang melakukan lawatan kerja ke negara itu, melaporkan gegaran itu dirasai ketika mereka sedang mengadakan sidang media bersama Duta Indonesia ke Malaysia Rusdi Kirana di tingkat lapan Menara Lion, Jakarta.
Gegaran itu menyebabkan mereka bergegas keluar daripada bangunan itu, tiada kecederaan dilaporkan.
Petang tadi, gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud menggegarkan kawasan persisiran pantai barat Pulau Jawa, lapor AFP.
Gempa itu dikesan pada kedalaman 10 kilometer dari kawasan pantai, kira-kira 147 kilometer dari Sumur, barat daya Jakarta pukul 7.03 petang waktu tempatan.
Amaran tsunami setinggi 3 meter turut dikeluarkan di kawasan Pandeglang, Lampung dan Sukabumi di Pulau Jawa, kata Jabatan Meteorologi Indonesia dipetik AFP.
Tiada laporan mengenai kemalangan jiwa dan tahap kemusnahan akibat gempa itu setakat ini.
Bulan ini, gempa berukuran 7.3 yang berlaku di Kepulauan Maluku membunuh dua orang dan menyebabkan ribuan mangsa terpaksa dipindahkan.
Indonesia terletak di kawasan aktif gempa dan gunung berapi dikenali sebagai “Lingkaran Api Pasifik”.
Tahun lepas, gempa sekuat 7.5 melanda Palu di Kepulauan Sulawesi membunuh lebih 2,200 orang dan beribu orang lagi hilang.
Pada 26 Disember 2004, gempa sekuat 9.1 melanda pesisir Sumatera mencetuskan gelombang tsunami membunuh lebih 220,000 orang di kawasan pesisir Lautan Hindi, 170,000 mangsa adalah warga Indonesia.
Ia adalah antara bencana alam terburuk pernah direkodkan dalam sejarah dunia. – Agensi, 2 Ogos, 2019.
Komen