AMERIKA Syarikat (AS) dan Rusia tidak lagi terikat dengan perjanjian misil era Perang Dingin selepas kedua-dua negara menarik diri daripada perjanjian itu.
Perkembangan itu bakal menyaksikan perlumbaan senjata antara kuasa besar dunia kembali berlaku.
Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) 1987 adalah usaha kuasa besar mengehadkan penggunaan misil jarak sederhana melibatkan peledak konvensional dan nuklear.
Setiausaha Negara AS Mike Pompeo mengumumkan pengunduran secara rasmi daripada perjanjian itu ketika di Bangkok beberapa minit selepas Rusia menyifatkan perjanjian itu sudah mati.
Kedua-dua pihak menunjukkan sikap mahu menarik diri daripada perjanjian itu sejak beberapa bulan lalu apabila mereka saling menuding jari melanggar perjanjian itu.
Selepas pengumuman Pompeo, Kementeria Luar Rusia di Moscow berkata perjanjian itu sudah dibatalkan selepas AS memulakannya dulu.
Namun timbalan menteri luar Rusia Sergei Ryabkov turut menggesa AS agar melaksanakan moratorium terhadap penggunaan misil nuklear jarak sederhana selepas perjanjian itu menemukan kegagalan.
Sejak bertahun-tahun Washington menuduh Rusia membangunkan misil jenis baharu, 9M729 yang didakwa melanggar perjanjian itu.
Misil itu berkeupayaan mencapai jarak 1,500 kilometer, kata NATO tetapi Moscow berkata ianya hanya mencapai jarak 480 kilometer.
Penggunaan misil antara jarak 500 dan 5,000 kilometer dihadkan mengikut perjanjian INF. – AFP, 2 Ogos, 2019.
Komen