Langgar hak kanak-kanak, Palestin desak Israel disenarai hitam


Menurut pegawai Palestin, Israel menahan dan mendera ratusan kanak-kanak Palestin selain membunuh dan mencederakan 2,800 yang lain di Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitulmaqdis Timur pada 2008. – Gambar EPA, 2 Ogos, 2019.

PEGAWAI kanan Palestin pada Khamis mendesak Setiauasaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres supaya menyenarai hitam Israel dalam nota tambahan laporan tahunan PBB mengenai kanak-kanak yang tinggal di kawasan konflik bersenjata, lapor agensi berita Xinhua memetik satu kenyataan. 

Gesaan itu dibuat selepas Israel tidak disenarai hitam dalam nota tambahan laporan berkenaan bagi tahun keempat berturut-turut. 

“Kegagalan PBB menyenarai hitam Israel meskipun pertubuhan itu sentiasa ditekan, membuktikan kegagalan sistem antarabangsa mempertanggungjawabkan penjenayah dan seolah-olah membayangkan masyarakat antarabangsa melindungi pihak yang menjarah,” kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO),  Hanan Ashrawi, menerusi satu kenyataan. 

“Rekod pencabulan hak asasi ke atas kanak-kanak Palestin termasuk melakukan ratusan tangkapan tanpa bicara, adalah amat ketara dan jelas,” katanya. 

Menurut pegawai Palestin, Israel menahan dan mendera ratusan kanak-kanak Palestin selain membunuh dan mencederakan 2,800 yang lain di Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitulmaqdis Timur pada 2008.

Beliau turut menyelar sesetengah negara kerana menutup mata terhadap jenayah yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin terutama kanak-kanak di wilayah Palestin. 

“Israel mesti dipertanggungjawabkan terhadap pelbagai jenayah yang dilakukannya dan hak Palestin perlu dilindungi, ” kata Hanan. – Bernama, 2 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen