AGENSI kerajaan membelanjakan berjuta ringgit untuk mempromosikan hubungan antara kaum sejak lima tahun lalu walaupun tiada program rasmi diwujudkan bagi tujuan itu, kata seorang pakar akademik.
Profesor Bersekutu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata berdasarkan kajian dua tahun lalu, pihak universiti mendapati agensi kerajaan sudah membelanjakan RM700 juta sejak lima tahun lalu bagi mempromosikan perpaduan kaum.
Katanya, usaha itu dijalankan walaupun tiada peruntukan diberikan kepada agensi kerajaan untuk berbuat demikian.
“Program ini seperti acara jogaton dan hari keluarga. Walaupun program ini nampak biasa tetapi kesannya penting bagi menjalinkan perpaduan,” kata pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) itu.
Satu lagi contoh kata Shamsul, terdapat acara perkahwinan beramai-ramai diadakan di kawasan perumahan.
“Ada kalangan rakyat yang tidak mampu mengadakan perkahwinan secara besar-besaran di hotel dan mereka melangsungkannya di rumah. Adan boleh melihat siatuasi di seluruh negara pada setiap minggu.
“Ini sangat penting untuk membentuk perpaduan. Rakyat Malaysia sedar tentang perbezaan yang wujud dan mereka mahu membina platform integrasi tersendiri,” kata Shamsul.

Shamsul berkata perkara itu merupakan sebahagian kajian KITA selama dua tahun yang digelar sebagai Indeks Perpaduan Nasional (IPMAS).
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut tentang hasil kajian itu yang akan disiarkan kemudian.
Shamsul berkata demikian pada forum Analisis Politik di Malaysia: Antara Akademik dan Arus Perdana di Bangi hari ini.
Antara panel yang turut hadir adalah pensyarah UKM Dr Kartini Aboo Talib dan pensyarah Universiti Sains Malaysia Prof. Dr Sivamurugan Pandian.
Shamsul berkata pada forum itu bahawa terdapat dua lapisan perpaduan di negara ini iaitu realisik dan imaginasi.
“Dalam realiti, anda melibat orang ramai bergaduh benda kecil tetapi tidak sampai ke tahap keganasan. Bagi saya ini politik matang kerana mereka mampu lakukannya secara terbuka,” katanya.
Namun beliau berkata ia tidak bermaksud rakyat Malaysia berpecah teruk.
Katanya hubungan antara kaum dilihat teruk kerana amalan politik yang dipraktikkan di negara ini. – 2 Ogos, 2019.
Komen