KOREA Selatan akan membuang Jepun daripada “senarai putih” rakan dagang dipercayai, kata Kementerian Kewangan hari ini, beberapa jam selepas tindakan sama dibuat Tokyo.
Keputusan kerajaan Jepun “secara asasnya memusnahkan hubungan percaya dan kerjasama antara dua negara yang sudah terbina” sejak dahulu, kata Hong Nam-ki.
“Kerana itu, kami meluahkan bantahan keras dan kekesalan mendalam, dan menggesa Tokyo untuk menarik balik tindakan perdagangan yang berdendam itu.”
Tindakan Tokyo itu berlaku ketika kedua-dua negara bertelagah tentang isu buruh paksa Perang Dunia ke-2, tetapi Jepun menegaskan ia berkaitan dengan keselamatan negara dan bukannya satu serangan balas.
Seoul marah dengan tindakan Tokyo itu, dengan Presiden Moon Jae-in menyifatkannya sebagai “semberono” dan akan menjejaskan rangkaian pembekalan dunia.
“Kami akan terus berusaha menyelesaikan isu ini dengan diplomasi,” kata Menteri Kewangan Hong.
“Tetapi kami juga akan membuang Tokyo daripada senarai putih kami dan meneliti proses untuk memperkukuh kawalan eksport kami.” – AFP, 2 Ogos, 2019.
Komen