BUAYA mengganas memburu anjing di jalan ditenggelami air di bandar Vadodara, India selepas hujan lebat 24 jam menyebabkan air naik setinggi 50 sentimeter dan menyebabkan lima orang maut, kata polis hari ini.
Paras air cecah pinggang itu masih tidak surut pada hari ini di bandar Gujarat di mana semua stesen keretapi apinya ditenggelami air dan kebanyakan jalan masih ditutup.
Hampir 5,000 orang dipindahkan dari rumah mereka selepas air Sungai Vishwamitri dipenuhi buaya melimpah keluar ke bandar berpenduduk 1.2 juta orang itu.
Video seekor buaya menyerang seekor anjing tular di media sosial. Haiwan itu sudah ditangkap aktivis haiwan.Polis berkata terdapat dua lagi kejadian membabitkan buaya dilaporkan.
Kebanyakan jambatan sudah ditutup, memutuskan perhubungan ke bandar itu.
Pegawai berkata dua orang maut terkena renjatan elektrik dan dua buruh maut selepas dinding yang runtuh menimpa mereka. Mayat seorang lelaki berusia 60-an pula ditemui terapung di sungai walaupun punca kematian belum dapat dikenal pasti.
Pasukan perubatan dari bandar berhampiran sudah dihantar ke Vadodara untuk melaksanakan operasi cegah wabak penyakit, kata pegawai.
Jurutera tenaga pula sedang berusaha mengembalikan bekalan elektrik. Penduduk yang ditimpa bencana pula beratur di luar kedai makanan.
Lebih 250 orang maut kerana musim tengkujuh yang melanda seluruh India sejak beberapa minggu lepas, negeri Assam dan Bihar adalah negeri paling teruk terjejas. – AFP, 2 Ogos, 2019.
Komen